Selasa, 31 March 2020 | 4:55pm
PENGARAH KKTMKu, Mohd Hazlen Ramli (tiga dari kiri) menyerahkan `aerosol box' kepada Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA, Dr Rafidah Mohd Salleh di Kuantan. - Foto ihsan KKTMKu
PENGARAH KKTMKu, Mohd Hazlen Ramli (tiga dari kiri) menyerahkan `aerosol box' kepada Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA, Dr Rafidah Mohd Salleh di Kuantan. - Foto ihsan KKTMKu

COVID-19: `Aerosol box' bantu lindungi doktor

KUANTAN: ‘Aerosol box’, peralatan perlindungan diri (PPE) dihasilkan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kuantan (KKTMKu) diharap membantu petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) merawat pesakit COVID-19.

Pengarah KKTMKu, Mohd Hazlen Ramli, berkata reka bentuk dan pembuatan `aerosol box’ yang dihasilkan dengan kerjasama Zury Renovation & Furniture itu adalah sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan, khususnya doktor dan jururawat.

Katanya, setakat ini, pihaknya menyiapkan empat unit dan sedia menambah PPE itu mengikut keperluan pengurusan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Aerosol box’ ini diperbuat daripada bahan arcylic iaitu plastik jernih dengan ketebalan lima milimeter.

“Alat ini berfungsi untuk melindungi doktor yang merawat pesakit COVID-19 daripada terkena jangkitan secara terus seperti terkena titisan air liur atau bersin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hazlen menyerahkan empat unit `aerosol box’ kepada Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA, Dr Rafidah Mohd Salleh.

Baru-baru ini, KKTMKu turut menghasilkan set pelindung muka edisi khas petugas kesihatan HTAA terhindar daripada jangkitan wabak COVID-19.

Penghasilan `aerosol box’ dan pelindung muka edisi khas itu atas inisiatif menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kolej berkenaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X