Selasa, 31 March 2020 | 3:01pm

COVID-19: DBKL kaji kesesuaian guna dron

KUALA LUMPUR: Kesesuaian penggunaan dron bagi proses nyah cemar di ibu negara perlu diteliti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Ia merangkumi aspek ketinggian bangunan dan halangan di persekitarannya serta keupayaan semburan cecair nyah cemar secara menyeluruh dan mencapai sasaran, jika proses itu dibuat menggunakan dron.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia bagi memastikan tujuan utama operasi nyah cemar tercapai, sekali gus menyumbang kepada usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, penelitian berhubung kesesuaian penggunaan dron bagi operasi berkenaan akan dibuat dalam jangka masa bersesuaian dengan ia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Ketika ini, proses nyah cemar dilakukan DBKL menggunakan kaedah semburan dilakukan kakitangan, ‘vehicle mounted equipment’ dan kenderaan besar.

“Ada tempat sesuai dan sebaliknya, jadi biarkan DBKL tentukan. Di mana sesuai guna dron, kita akan gunakan sebab kita mungkin tak cukup kakitangan, paling penting kecekapannya kerana kita perlu pastikan ia efektif dan sesuai dalam berbelanja.

“Kalau (dron) terbang tinggi kita tak pasti adakah bahan nyah cemar sampai ke sasaran. Mungkin ia nampak cantik sebab terbang tinggi, tetapi adakah ia membunuh virus atau kuman yang kita mahu?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di Jalan Dewan Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Annuar berkata, penggunaan dron bagi proses nyah cemar dikatakan efisyen bagi kawasan lapang, selain ia perlu mengambil kiraan tiupan angin bagi memastikan prosedur itu dijalankan dengan cekap.

“Ada juga lokasi yang kita terpaksa pergi tinggi, terutamanya bangunan tinggi dan kita mahu kaji bolehkah dron sembur masuk ke koridor di bangunan bertingkat? Kalau itu dapat dilakukan, ia akan jimat banyak tenaga.

“Tetapi kalau tak sesuai kerana tinggi dan angin kuat misalnya, maka kita terpaksa gunakan individu untuk pergi setiap tingkat. Keperluan (dron) memang ada, terutamanya bila ada kejadian seperti di Plaza City One, di sini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menghadiri Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
    MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menghadiri Operasi Sanitasi Awam COVID-19 di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin
    Berita Harian X