Isnin, 30 March 2020 | 7:55pm
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) - Gambar hiasan
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) - Gambar hiasan

EAC beri perhatian rungutan sektor PKS

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) memberikan tumpuan khusus kepada pandangan serta rungutan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, menggesa semua pemilik premis perniagaan swasta atau persendirian untuk mempertimbangkan pemberian diskaun, selepas PKS dikesan berdepan cabaran getir berikutan penularan wabak COVID-19.

“Bagi meringankan beban penyewa, pemilik premis juga boleh mempertimbangkan penangguhan atau pengecualian bayaran sewa terhadap peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan.

“Unit (Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) LAKSANA Kementerian Kewangan turut membentangkan laporan pemantauan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi memastikan objektif yang digariskan kerajaan tercapai,” katanya, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mesyuarat EAC hari ini bersetuju melantik tokoh ekonomi dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota majlis berkenaan.

Lantikan terbaharu itu membabitkan tokoh perbankan terkenal di Sabah, Datuk Bridget Anne Chin Hung Yee dan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Datu Abang Halmi Ikhwan.

Pelantikan dua tokoh dari Sabah dan Sarawak itu sekali gus menjadikan jumlah terkini anggota EAC ialah 13 orang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X