Isnin, 30 March 2020 | 6:00pm
Anggota polis melakukan sekatan di Kampung Sungai Lui Batu 21 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto BERNAMA
Anggota polis melakukan sekatan di Kampung Sungai Lui Batu 21 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto BERNAMA

PKPD di zon merah jika kes meningkat mendadak

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di zon merah akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertambahan kes secara mendadak di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata buat masa ini pihaknya melihat perkembangan kawasan berkenaan terlebih dahulu sebelum boleh melaksanakan PKPD.

“Selain zon Merah, kita turut mengenal pasti zon kuning iaitu kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes.

“Kalau ada peningkatan mendadak, kita akan segera mengambil tindakan drastik seperti dilakukan di dua daerah iaitu di Kluang dan Hulu Langat,” katanya dalam sidang media harian, di sini.

Terdahulu, BH melaporkan PKPD wajar diperluaskan segera jika masih ramai ingkar terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama di lokasi diisytiharkan sebagai Zon Merah.

Pakar Kriminologi dan Psikologi, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Mayda Dr Geshina Ayu Mat Saat, dilaporkan berkata, ia jalan terbaik sebagai usaha drastik mengawal virus COVID-19 daripada terus merebak.

Di Kluang, Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor dikenakan PKPD sejak Jumaat lalu, susulan jumlah jangkitan positif COVID-19 yang tinggi di daerah terbabit.

Bagi Hulu Langat, tujuh kampung di daerah berkenaan dilaksanakan PKPD berkuat kuasa semalam hingga 13 April depan.

Berita Harian X