Isnin, 30 March 2020 | 11:37am
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) diberi taklimat mengenai operasi nyah cemar di sekitar Masjid Al Falah Kampung Masjid, Sungai Ramal Dalam, Kajang, hari ini. - Foto NSTP/Zanariah Abd Mutalib
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) diberi taklimat mengenai operasi nyah cemar di sekitar Masjid Al Falah Kampung Masjid, Sungai Ramal Dalam, Kajang, hari ini. - Foto NSTP/Zanariah Abd Mutalib

COVID-19: Proses nyah cemar sekitar Masjid Al Falah bermula

KAJANG: Operasi nyah cemar di sekitar Masjid Al Falah Kampung Masjid, Sungai Ramal Dalam di sini, dimulakan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Operasi membabitkan kawasan seluas 500 meter (m) radius dari masjid berkenaan.

Seramai 153 anggota daripada 10 agensi kerajaan ditugaskan bagi melaksanakan operasi nyah cemar itu, merangkumi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Petugas terbabit mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan membawa alat semburan nyah cemar, selain turut membabitkan penggunaan jentera bomba dan dron.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang menerajui kementerian yang dipertanggungjawabkan bagi operasi itu turut turun padang meninjau pelaksanaan operasi berkenaan.

Hanya beberapa jurugambar media dibenar membuat liputan di kawasan berkenaan, manakala petugas media lain diminta menunggu di pintu masuk Jalan Sungai Ramal Dalam, iaitu kira-kira 1.5 km dari Masjid Al Falah.

Antara lokasi bangunan awam yang akan menjalani proses nyah cemar adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Ramal Dalam, Sekolah Rendah Agama (SRA) Sg Ramal Dalam, Surau Al-Uum dan Surau Al-Amin.

Sungai Ramal adalah antara kawasan dalam daerah Hulu Langat. Hulu Langat adalah antara 13 lokasi yang disenaraikan sebagai Zon Merah wabak COVID-19 di negara ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi nyah cemar akan dilaksana di seluruh negara bermula hari ini, dengan tumpuan utama di kawasan awam sebelum diperluas ke tempat kediaman dan pejabat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X