Ahad, 29 March 2020 | 4:42pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika hadir memberi taklimat kepada petugas-petugas DBKL pada kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh di kawasan Perkaranagn Parkir di Hadapan Masjid Sri Petaling, semalam. - NSTP/Aswadi Alias
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika hadir memberi taklimat kepada petugas-petugas DBKL pada kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh di kawasan Perkaranagn Parkir di Hadapan Masjid Sri Petaling, semalam. - NSTP/Aswadi Alias

Pertimbang guna dron bantu Ops Nyah Cemar

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan mempertimbangkan untuk menggunakan dron, selain memasuki premis persendirian dalam usaha pembersihan kawasan secara intensif melalui Ops Nyah Cemar bagi membendung penularan wabak coronavirus (COVID-19), esok.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata perkara itu perlu memandangkan semakin banyak kawasan di Wilayah Persekutuan menunjukkan trend penambahan jangkitan, selain Lembah Pantai dan Titiwangsa.

“Melalui Ops Nyah Cemar, ada beberapa kawasan mungkin kita perlu masuk ke dalam premis persendirian.

“Kita juga ada berbincang untuk menambah aset secara dron untuk semburan lebih pantas, manakala kaedah manual akan digunakan untuk kenderaan di jalan raya,” katanya melalui sidang media di laman sosial Facebook, di sini.

Mengulas lanjut, katanya penggunaan dron mampu mempercepatkan kerja penyemburan khususnya di kawasan yang sukar atau membabitkan aset lain yang lebih besar, selain kerja penyemburan di premis persendirian di beberapa kawasan tertentu yang memerlukan.

"Ada beberapa kawasan diistilahkan sebagai zon merah dan kuning...bukan hanya Lembah Pantai dan Titiwangsa tetapi juga Kepong dan sekitar Jalan Masjid India yang ada kes kita terpaksa beri perhatian yang cukup serius.

"Sehingga kini, Masjid Seri Petaling menjadi kawasan (tumpuan) nombor satu, diikuti Kampung Bharu dan Bukit Damansara...kita bimbang jika ada kes berlaku di rumah pangsa dan kondominium ia boleh melonjak ke jumlah jangkitan lebih besar,” katanya.

Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Pada masa sama, Annuar berkata, sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa juga akan diperketatkan di lokasi tertentu di mana tahap pematuhannya tidak memuaskan.

Katanya, orang ramai diminta untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pihaknya menerima laporan masih ada yang berkumpul secara senyap-senyap di rumah ibadat.

"Kita juga akan memindahkan gelandangan di ibu kota untuk diletakkan di tempat terkawal sepanjang PKP bagi melindungi mereka supaya tidak dijangkiti COVID-19, " katanya.

Berita Harian X