Ahad, 29 March 2020 | 4:30pm
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melakukan lawatan ke enam lokasi sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Petaling Jaya termasuk SJR berhampiran laluan keluar di Plaza Tol Kota Damansara.
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin melakukan lawatan ke enam lokasi sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah Petaling Jaya termasuk SJR berhampiran laluan keluar di Plaza Tol Kota Damansara.

COVID-19: Aplikasi panduan arah, navigasi dedah sekatan polis

PETALING JAYA: Jumlah sekatan jalan raya (SJR) akan ditambah, seiring Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki minggu kedua dengan tumpuan kepada laluan bukan utama atau 'jalan belakang'.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata langkah itu bagi membendung pergerakan segelintir pihak yang masih berdegil, melanggar arahan PKP supaya duduk di rumah masing-masing.

"Kita terpaksa guna strategi ini kerana pengguna jalan raya yang menggunakan aplikasi panduan arah dan navigasi seperti Waze, mereka akan diberitahu lokasi-lokasi yang ada sekatan jalan raya (SJR).

"Mereka kemudian akan mencari jalan-jalan alternatif untuk mengelak melalui jalan yang ada SJR, justeru kita akan lakukan sekatan-sekatan di laluan berkenaan sehingga memaksa mereka masuk ke laluan yang ada SJR.

"Sebagai contoh di Kota Damansara yang terdapat banyak laluan, maka kita akan buat sekatan-sekatan," katanya kepada pemberita selepas selesai membuat tinjauan SJR di laluan keluar di Plaza Tol Kota Damansara di sini, hari ini.

Hamzah berkata, tindakan itu perlu supaya orang ramai mematuhi arahan PKP dan tidak sewenang-wenangnya bergerak ke sana sini tanpa tujuan penting.

Terdahulu, Hamzah turut membuat tinjauan ke lima lagi lokasi SJR di sekitar daerah Petaling Jaya dengan diiringi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, masuk hari ke-12 pelaksanaan PKP hari ini, kadar peratusan pematuhan arahan itu meningkat kepada 95 peratus dan angka itu diharap bertambah baik selepas ini.

"Walaupun kadar pematuhan menunjukkan peningkatan berbanding minggu pertama, namun masih ada segelintir yang tidak dengar cakap, masih degil.

"Kita mohon semua rakyat supaya mematuhi arahan PKP dengan sebaik mungkin. Kita tidak mahu perkara ini (PKP) berlanjutan kerana ia akan membawa lebih banyak masalah dan tekanan kepada rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya jumlah tangkapan terhadap mereka yang ingkar dan gagal mematuhi PKP bagi membendung wabak COVID-19 yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu meningkat kepada 1,354 orang.

"Daripada jumlah itu, seramai 73 orang sudah dituduh di mahkamah. Ini menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin bertegas.

"Pada minggu pertama, pihak polis lebih kepada menasihati orang ramai yang gagal mematuhi PKP.

'Namun mereka kini akan mengambil tindakan lebih tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada terhadap mereka yang gagal mematuhi PKP," kata beliau.

Berita Harian X