Ahad, 29 March 2020 | 2:02pm
KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

COVID-19: Langgar PKP untuk main wau dan lepak kedai kopi ditahan polis

KOTA BHARU: Lepak di kedai kopi dan bermain wau adalah di antara kesalahan diambil tindakan oleh polis terhadap 94 individu yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata kesemua mereka yang ditahan berusia 20 hingga 50-an dengan kebanyakannya tangkapan dilakukan di Kota Bharu.

Katanya, antara kesalahan mereka termasuk bermain bola, melepak di kedai kopi dan bermain wau, yang jelas melanggar arahan dikeluarkan.

“Daripada jumlah tangkapan itu, ada di antara mereka sudah dihadapkan ke mahkamah. Justeru, kita berharap penduduk di Kelantan patuh dengan arahan.

“Memandangkan PKP sudah memasuki hari ke-12, kita tidak akan memberi nasihat lagi sebaliknya tangkapan akan dibuat bagi mereka yang ingkar.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, tahap pematuhan rakyat Kelantan kini meningkat kepada 96 peratus.

“Masih ada empat peratus yang masih degil dan kita akan mempertingkatkan kawalan dari semasa ke semasa,” katanya.

Ketika mengulas berhubung jemaah yang terbabit dalam ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling akhir bulan lalu di Kelantan, Hasanuddin berkata, kesemua mereka sudah dikesan dan hadir untuk saringan.

“Alhamdulillah mereka sangat memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X