Ahad, 29 March 2020 | 8:43am
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine ketika melakukan proses nyahcemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, dekat sini, semalam. - Foto Zuhainy Zulkiffli.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine ketika melakukan proses nyahcemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, dekat sini, semalam. - Foto Zuhainy Zulkiffli.

COVID-19: Pasukan sukarela bantu proses nyah cemar

GEORGETOWN: “Bukan balasan atau pujian yang kami mahukan tetapi hanya mahu semuanya cepat berlalu,” kata Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine, Ngoh Chin Wah, bersama pasukannya yang sudah melakukan proses nyah cemar sukarela di sekitar daerah Timur Laut, sejak enam hari lalu.

Ngoh berkata, disebabkan tidak mempunyai peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang cukup, hanya 10 anggota sahaja yang dapat melakukan kerja pembersihan itu pada satu-satu masa.

“Kami bahagikan kepada dua kumpulan kerana hanya mempunyai empat set PPE namun jika ia mencukupi kelak, kami akan tambah lagi anggota bagi melakukan kerja ini.

“Sudah enam hari kami melakukan kerja berkenaan secara sukarela di sekitar daerah ini dan semburan dikenakan di setiap bangunan dan jalan yang kami lalui,” katanya yang ditemui selepas melakukan proses nyah cemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Jalan Patani, semalam.

Ngoh berkata, cecair pembasmi yang digunakan adalah bancuhan sendiri sama seperti yang digunakan bagi membasmi virus COVID-19 di China dan dia memperoleh formula itu daripada kenalannya yang juga petugas dari negara terbabit.

Katanya, setiap hari sebanyak 5,400 liter air yang dicampur dengan alkohol dan beberapa bahan lain digunakan bagi membuat cecair nyah cemar itu dengan kos membabitkan hampir RM1,000.

Bancuhan formula itu mestilah tepat dan jika tidak, cecair pembasmi itu tidak mampu membunuh virus atau kuman.

“Wang berkenaan adalah sumbangan daripada orang ramai sebelum ini dan kami gunakan sebaiknya bagi kerja nyah cemar.

“Kami lakukan kerja ini adalah bagi kepentingan bersama, supaya kita berjaya menghalang penularan COVID-19 seterusnya menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X