X
Sabtu, 28 March 2020 | 7:13pm

Kerajaan China sumbang bekalan perubatan

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar China di Malaysia menyumbangkan pelbagai bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memerangi dan sebagai perlindungan kepada barisan hadapan yang sangat terdedah kepada wabak COVID-19.

Sumbangan disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian manakala Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Hisammuddin Hussein.

Hisammuddin berkata, bantuan dihulurkan itu adalah dasar hubungan baik antara Malaysia dan China yang terjalin sejak sekian lama.

Beliau berkata, kerajaan China sekali lagi tampil untuk bekerjasama membantu Malaysia ketika negara sedang berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.

Katanya, sebagai wakil Kerajaan Malaysia beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan China termasuk sumbangan diberikan sebelum ini membabitkan pelbagai kerajaan wilayah, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti perniagaan dan individu dari negara itu.

“Bantuan perubatan ini akan digunakan sepenuhnya dan diserahkan kepada AgensiPengurusan Bencana Kebangsaan Agensi (NADMA) untuk diagihkan kepada hospital bagi kegunaan petugas di barisan hadapan,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia di Wisma Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Pada program itu Kerajaan China menyerahkan sebanyak 100,008 Kit Diagnostik Asid, kit ujian (100,000 unit), topeng muka N95(500,000 unit), topeng muka pembedahan (50,000 unit); dan Peralatan Perlindungan Peribadi(200 unit).

Hisammuddin berkata, sumbangan itu diharapkan memberi banyak manfaat terutama dalam melawan musuh utama iaitu wabak COVID-19 serta yakin barisan hadapan juga akan lebih bersemangat dengan sumbangan itu.

Beliau turut memuji pendekatan diadakan Kerajaan China dalam menangani dan mengurangkan kes penularan wabak COVID-19 di negara itu.

“Malaysia akan terus bekerjasama secara kolektif dengan China bagi mencari cara baharu dalam menangani pendemik global itu,” katanya.

Sementara itu, Bai Tian, berkata sumbangan itu bagi membantu Malaysia dalam usaha memerangi COVID-19 dan sebagai perlindungan kepada barisan hadapan.

Tian berkata, pasukan barisan hadapan yang berjuang tulang belakang kepada negara dalam usaha mengekang penularan wabak itu, jadi mereka perlu sentiasa dilindungi dan diberi sokongan.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda perpaduan Kerajaan China untu kberkongsi kesusahan dialami Kerajaan Malaysia.

Katanya, Kerajaan China juga akan menghantar pasukan pakar perubatan COVID-19 bagi membantu pakar perubatan hospital di negara ini dalam jangka masa terdekat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • MENTERI Luar, Datuk Seri Hisammuddin Hussein dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian bergambar bersama pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia di Wisma Putra, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    MENTERI Luar, Datuk Seri Hisammuddin Hussein dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian bergambar bersama pada Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia di Wisma Putra, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X