Sabtu, 28 March 2020 | 5:10pm
Jalan lenggang di Oculus berikutan penularan COVID-19 di Brooklyn, Kota New York, Amerika Syarikat. Gambar hiasan REUTERS.
Jalan lenggang di Oculus berikutan penularan COVID-19 di Brooklyn, Kota New York, Amerika Syarikat. Gambar hiasan REUTERS.

COVID-19: Warga Malaysia di AS, UK perlu balik

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) perlu pulang seberapa segera sebelum negara berkenaan menguat kuasa perintah berkurung, berikutan penularan COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka mesti berbuat demikian ketika syarikat penerbangan kedua-dua negara itu masih beroperasi.

Menurut beliau, kos membawa pulang rakyat Malaysia sangat tinggi, iaitu kira-kira RM50 juta bagi membawa pulang rakyat Malaysia di AS.

“Sekiranya mereka pulang sendiri, kos ini dapat dimanfaatkan oleh kerajaan untuk membeli keutaman lain seperti peralatan perubatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bekalan Perubatan dari Kerajaan China kepada Kerajaan Malaysia disampaikan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

Pada program itu Kerajaan China menyumbang sebanyak kira-kira 100,000 kit diagnostik asid; kit ujian (100,000 unit); topeng muka N95 (500,000 unit); topeng muka pembedahan (50,000 unit) dan peralatan perlindungan peribadi (200 unit).

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Hishammuddin berkata, kerajaan perlu berhadapan dua perkara sekiranya ada rakyat Malaysia yang terkandas disebabkan perintah berkurung itu.

Menurut beliau, pertama kerajaan harus ada hubungan yang baik dengan negara berkenaan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara terbabit.

Katanya, perkara kedua kerajaan berhadapan dengan kos yang tinggi bagi membiayai penerbangan membawa pulang ke negara ini.

Berita Harian X