Jumaat, 27 March 2020 | 7:42pm

Perintah 'berkurung' PKPD berjalan lancar di Simpang Renggam

KLUANG: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap dua kawasan terjejas COVID-19 di Simpang Renggam, berjalan lancar hasil kerjasama penduduknya yang patuh kepada arahan berkurung dalam rumah masing-masing.

Tinjauan mendapati, sekatan jalan raya di kawasan itu dibuat beberapa lapisan membabitkan laluan utama Kampung Dato’ Ibrahim Majid and Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, berjaya menghalang akses keluar masuk di situ.

Semua kenderaan yang melalui laluan utama di kedua kawasan berkenaan juga dihentikan satu persatu sebelum anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas menyoal arah tujuan mereka.

Hampir kesemua kenderaan dilihat diarah berpatah balik dengan pemandu juga mematuhi arahan pihak berkuasa tanpa protes.

Difahamkan sekatan jalan hingga lima lapisan dilakukan di laluan utama keluar masuk dua kawasan PKPD itu sejak tengah malam tadi.

Anggota polis bertugas yang ditemui berkata, tiada penduduk atau pihak luar yang cuba melepasi sekatan dibuat dan setakat ini semua mematuhi arahan diberi supaya mengelakkan laluan berkenaan.

“Semua penduduk dan orang ramai sejak tengah malam tadi memahami PKPD ini dan mengapa laluan akses keluar masuk di sini disekat sepenuhnya.

“Ada juga cuba mempertikaikan penutupan laluan dengan alasan hanya melalui jalan utama ke destinasi lain, namun selepas diterangkan mengapa PKPD perlu dilaksana dan dipatuhi, mereka akur dan menurut arahan,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam, Johor menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

Perintah PKPD membabitkan 3,570 orang penduduk tempatan terdiri daripada 650 keluarga di dua kampung berkenaan.

Kira-kira 70 peratus penduduk terjejas terdiri dari pekebun sawit dan nanas yang mengelilingi dua penempatan berkenaan, manakala 20 peratus lagi adalah pekerja di kawasan perindustrian Simpang Renggam, manakala 10 peratus lagi sama ada bekerja sendiri, berniaga atau penjawat awam.

Menerusi PKPD itu, pelaksanaan pemantauan rumah dilaksanakan dengan lebih tegas terhadap dua kawasan terjejas dengan pengawasan ketat anggota pasukan keselamatan.

Semua penduduk tempatan dan pelawat yang sudah berada di kawasan terjejas tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan rumah didiami mereka sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah itu.

Penduduk tempatan dan pelawat juga tidak dibenarkan memasuki kedua-dua kawasan berkenaan.

Untuk membantu penduduk terjejas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini menjadi penyelaras bantuan makanan dan keperluan yang akan dipantau sepanjang masa.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • ANGGOTA polis dan tentera membuat sekatan jalan raya di Kampung Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid. - Foto Fathil Asri
    ANGGOTA polis dan tentera membuat sekatan jalan raya di Kampung Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid. - Foto Fathil Asri
    Berita Harian X