Khamis, 26 March 2020 | 11:38pm

COVID-19: Pendengaran kes sivil secara maya

KUALA LUMPUR: Semua pendengaran kes sivil boleh dibuat secara maya seperti pendengaran secara dalam talian menggunakan sistem e-Review, pertukaran e-mel atau sidang media.

Ini selaras dengan tempoh lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan, semua pihak boleh memohon kepada Mahkamah yang berkenaan untuk pendengaran kes sivil secara maya bagi memastikan akses kepada keadilan (access to justice) atas syarat-syarat berikut:

(i) dengan persetujuan pihak-pihak; dan

(ii) kebenaran permohonan ini adalah tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.

Prosiding yang boleh dipohon untuk didengar secara dalam talian adalah:

(a) Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Rendah di Semenanjung

Semua permohonan pendengaran permohonan ex-parte atau inter-partes yang difailkan bersama perakuan segera.

(b) Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak

Semua prosiding termasuk sebutan, permohonan, bicara, rayuan, mediasi, pengurusan kes, klarifikasi dan keputusan yang mana tarikh yang sudah ditetapkan adalah secara e-Review atau sidang video.

Permohonan untuk pendengaran secara sidang video hendaklah dibuat kepada pihak Mahkamah melalui e-mel sekurang-kurangnya 3 hari sebelum tarikh pendengaran atau sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah.

Pihak-pihak hendaklah berpakaian sopan dan yang bersesuaian semasa prosiding secara sidang video.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X