Khamis, 26 March 2020 | 11:27pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: KKM akan teliti segala kaedah, rawatan baharu

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan akan meneliti segala kaedah dan rawatan baharu bagi memulihkan pesakit COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penelitian berkenaan termasuk kaedah rawatan yang digunakan di China.

Katanya, hal berkenaan ada dibincangkan oleh kumpulannya menerusi telesidang yang diadakan tengah hari tadi.

Beliau berkata, antara kaedah dan rawatan dilakukan di China ialah menggunakan plasma darah pesakit yang sudah sembuh untuk mengubati pesakit yang dijangkiti.

“Berkenaan penggunaan plasma darah, kaedah berkenaan memerlukan mesin khas, iaitu plasma daripada darah pesakit yang sudah pulih boleh digunakan kembali.

“Bagaimanapun, kita masih tidak pasti sama ada kaedah ini betul-betul berjaya. Jadi buat masa sekarang kita kena dengar pengalaman mereka dahulu kerana mereka sudah lakukannya.

Kita sedang melihat dan belajar perkara baharu, sama ada penggunaan ubat jenis baharu yang digunakan oleh China dan ubatan dari Jepun. Selain itu mereka juga menggunakan darah untuk sembuhkan pesakit.

“Tetapi kita dimaklumkan yang ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan seperti cirit birit, ruam serta toksik kepada buah pinggang,” katanya pada media selepas sesi sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan, di sini hari ini.

Walaupun ia tidak berdaftar di Malaysia, Dr Noor Hisham, berkata, kementerian boleh luluskan untuk digunakan di sini, tetapi memerlukan kajian menyeluruh terhadap kesan sampingannya,”

Beliau juga berkata, kementerian perlu mengkaji secara teliti sebelum dapat ubatan berkenaan dapat digunakan di negara ini.

“Ubat baharu, kalau kita tak kaji dengan betul ia bukan merawat tetapi memberi komplikasi lain dan memudaratkan kepada pesakit,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X