Khamis, 26 March 2020 | 10:15pm
BIARPUN arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut orang ramai supaya sentiasa berada di rumah, ia juga bukan halangan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

COVID-19: Bacaan surah Yasin dari balkoni kuarters Polis Trafik Kulim

KULIM: Biarpun arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut orang ramai supaya sentiasa berada di rumah, namun arahan itu bukanlah alasan menjalani kehidupan seperti biasa.

Situasi itu dapat dilihat melalui aktiviti bacaan yasin beramai-ramai yang dilakukan penghuni kuarters Polis Trafik Kulim semalam.

Namun, ianya bukanlah dilakukan di tempat yang sama, sebaliknya setiap penghuni membaca ayat suci al-Quran itu bersama ahli keluarga di balkoni kediaman masing-masing.

Pengerusi penghuni kuarters, Sarjan Mohd Nazri Osman, 49, berkata idea bacaan yasin itu tercetus daripada isterinya, Rosyati Rosidan, 47, yang bimbangkan situasi semasa wabak Covid-19.

“Apabila kerajaan mengumumkan PKP dilanjutkan, isteri terfikir untuk mengajak penghuni kuarters membuat bacaan yasin bersama-sama.

“Bila berbincang menerusi kumpulan WhatsApp, kami sepakat mengadakan aktiviti ini bersama di balkoni rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nazri berkata, mereka juga merancang melakukan bacaan yasin bersama pada setiap hari selepas solat fardu maghrib sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Katanya, aktiviti itu dilihat dapat mengisi masa lapang isteri dan anak-anak anggota polis di situ.

“Kita tidak mahu mereka berasa bosan di rumah, jadi aktiviti ini dapat mengisi masa lapang mereka di samping mendoakan supaya wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya.

Video bacaan yasin penghuni kuaters itu mendapat perhatian netizen selepas ianya tular di media sosial sejak semalam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Setiap penghuni kuarters Polis Trafik Kulim membaca ayat suci al-Quran itu bersama ahli keluarga di balkoni kediaman masing-masing.
    Setiap penghuni kuarters Polis Trafik Kulim membaca ayat suci al-Quran itu bersama ahli keluarga di balkoni kediaman masing-masing.
    Berita Harian X