Khamis, 26 March 2020 | 6:24pm
Gambar hiasan unit bertingkat Projek Perumahan Rakyat (PPR): Impak psikologi kepada keluarga yang tinggal di kediaman sempit termasuk flat atau apartmen akan lebih ketara ketika PKP, kata pakar psikologi. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan unit bertingkat Projek Perumahan Rakyat (PPR): Impak psikologi kepada keluarga yang tinggal di kediaman sempit termasuk flat atau apartmen akan lebih ketara ketika PKP, kata pakar psikologi. - Foto BERNAMA

PKP: Persekitaran kediaman sempit, sesak dedah kepada tekanan

JOHOR BAHRU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pasti akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kediaman sempit dan sesak dengan bilangan anak atau ahli keluarga yang ramai.

Tambah merumitkan, kediaman keluarga yang tiada ruang atau halaman untuk menenangkan diri sekali gus mendedahkan mereka kepada impak psikologi terutama tekanan yang mampu membawa kepada kemurungan.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Norhayati Ibrahim, berkata impak psikologi ibu bapa dan keluarga di kediaman sebegitu akan lebih ketara jika mereka turut berhadapan masalah dari segi ekonomi serta kewangan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Adalah amat penting bagi ibu bapa serta keluarga untuk kekal rasional dan sentiasa positif bagi mengelakkan mereka terjerumus kepada impak psikologi negatif sepanjang menjalani PKP.

“Tidak dinafikan akan ada unsur tekanan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan keluarga ketika menjalani PKP namun ia akan lebih menjejaskan bagi mereka yang menetap di kediaman sempit dan sesak termasuk di flat atau apartmen.

“Keadaan persekitaran rumah yang terkongkong ditambah kepada isu kewangan keluarga yang terjejas sepanjang PKP mampu membuatkan ibu bapa dan keluarga gagal mengawal tekanan dan akhirnya menjejaskan keluarga mereka sendiri.

“Impak psikologi yang mungkin dialami ibu bapa atau keluarga termasuklah berada dalam keadaan bimbang sepanjang masa, tidak boleh fokus pada kerja yang dilakukan, cepat marah, sentiasa berfikiran negatif, kurang selera makan atau terlebih selera, tidak boleh tidur atau terlebih tidur dan paling bahaya ia boleh membawa kepada perasaan ingin membunuh diri.

“Keadaan akan menjadi semakin parah sekiranya ibu bapa yang dalam keadaan tertekan hanya mendiamkan diri dan tidak mampu berbuat apa-apa, yang akhirnya boleh membawa kepada kemurungan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac, dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Semalam, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku.

Mengulas lanjut, Norhayati berkata, ibu bapa dan keluarga yang mulai merasai tekanan ketika PKP perlu mencari jalan segera supaya tidak terjejas dari segi emosi dan psikologi mereka.

Katanya, antaranya adalah dengan melakukan aktiviti menyeronokkan dan bermanfaat bersama keluarga sama ada memasak atau hobi yang sihat selain mempelbagaikan aktiviti yang dilakukan bersama keluarga supaya anak tidak berasa bosan.

Pastikan ibu bapa dan ketua keluarga menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan memberi penjelasan sebaiknya mengenai pentingnya PKP dan untuk sentiasa berada di rumah. Beri pemahaman pada anak-anak dengan menyampaikan maklumat dengan cara yang mudah difahami mengikut tahap kefahaman anak-anak.

“Anak biasanya akan patuh dengan arahan ibu bapa untuk kekal di rumah jika ia dilakukan dengan bijaksana, tertib dan kasih sayang. Tanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab dan bercerita tentang perkara yang baik- baik agar anak menjadi lebih positif.

“Pastikan kediaman sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan teratur kerana ruangan yang berselerak, tidak terurus dan kotor mampu mempengaruhi emosi keluarga dan menyebabkan mereka tidak selesa di rumah.

“Tidak semua keluarga yang tinggal di kediaman sempit dan sesak yang mengalami tekanan kerana ada juga yang seronok apabila berkumpul beramai-ramai apatah lagi jika ada aktiviti menyeronokkan yang dapat dilakukan bersama-sama,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X