Khamis, 26 March 2020 | 5:29pm
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: Angka kematian 23 orang, jumlah kes 2,031

PUTRAJAYA: Terdapat empat kes kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua mereka ialah peserta perhimpunan di Masjid Seri Petaling, pada 27 Februari lalu.

Menerusi jumlah berkenaan, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 23 kes.

“Ini menjadikan kes kematian di negara ini adalah sebanyak 1.1 peratus berbanding kematian di dunia sebanyak 4.5 peratus,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, hingga jam 12 tengah hari tadi terdapat 235 kes baharu dilaporkan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,031 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

“Sementara itu, baki 175 kes lagi masih lagi dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster,” katanya.

Hingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X