Khamis, 26 March 2020 | 4:31pm

Ubat didakwa mampu rawat COVID-19 perlu jalani ujian klinikal

KUALA LUMPUR : Sebarang ubat-ubatan yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit, termasuk coronavirus (COVID 19) perlu menjalani ujian klinikal dan menepati piawaian badan khas sebelum diluluskan untuk kegunaan ramai.

Penyelidik Fakulti Perubatan Universiti MAHSA, Profesor Shamala Devi Sekaran, berkata ujian klinikal berkenaan perlu dibandingkan dengan rawatan sedia ada bagi menguji keberkesanan sebelum ia akhirnya diluluskan dan diguna pakai ke atas pesakit.

Katanya, sebarang dakwaan berhubung keberkesanan bahan tertentu dalam merawat penyakit kekal dianggap sebagai mitos selagi ia tidak terbukti secara ilmiah.

“Sama seperti vaksin, ia memerlukan pengesahan terperinci sebelum boleh diberikan kepada manusia, selain bukti saintifik untuk menyokong keberkesanan kepada umum,” katanya dalam sidang video berhubung penyesuaian terhadap cabaran COVID-19 di sini hari ini.

Sidang berkenaan dikendalikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin selaku moderator.

Professor Shamala menyatakan demikian sebagai menjawab soalan berhubung dakwaan mengenai keberkesanan daun semambu dalam menyembuhkan pesakit COVID-19.

Turut serta adalah dua panel lain iaitu Pakar Epidimiologi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan Naib Presiden (Pembangunan dan Penyelidikan) Universiti Monash Malaysia, Profesor Dr Mahendhiran Nair.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Awang Bulgiba berkata, penjarakkan sosial yang ditekankan Kementerian Kesihatan dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat sebagai satu-satunya cara mampu menyekat penularan virus terbabit.

Katanya, langkah berkenaan memiliki rasional tersendiri dan logik yang perlu dipatuhi semua pihak dalam memastikan negara bebas daripada ancaman virus berbahaya ini.

“Seperti yang kita ketahui, COVID-19 adalah penyakit yang baru dikesan dan masih terlalu banyak tidak diketahui mengenainya.

“Penjarakkan sosial dan PKP ini bukan tindakan atau langkah baharu, ia sudah diamalkan untuk mengawal penyebaran hampir semua penyakit berjangkit dalam sejarah perubatan dunia dan ada logiknya.

“Jika kita tidak mendekati pesakit, sudah tentu ia tidak boleh merebak dan risiko untuk dijangkiti juga berkurangan dengan sangat banyak. Di sini letaknya kepentingan untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

Beliau berkata, langkah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan PKP sehingga 14 April amat disokong kerana pada dasarnya tiada langkah lain yang lebih berkesan untuk membendung penularan wabak dengan cepat.

“Perlu dingat bahawa penjarakkan sosial ini seharusnya terhenti selepas 14 April kerana seperti yang saya tekankan sebelum ini, kita memerlukan antara tiga hingga enam bulan sebelum boleh diisytiharkan bebas daripada ancaman COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X