Khamis, 26 March 2020 | 4:22pm
Gambar hiasan - Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka menetapkan hukum sebagai ‘harus’ untuk menggunakan kutipan umum tabung khairat masjid, bagi membantu anak kariah yang memerlukan. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Gambar hiasan - Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka menetapkan hukum sebagai ‘harus’ untuk menggunakan kutipan umum tabung khairat masjid, bagi membantu anak kariah yang memerlukan. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Harus guna tabung khairat masjid bantu kariah memerlukan - Fatwa Melaka

MELAKA: Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bersetuju menetapkan hukum sebagai ‘harus’ untuk menggunakan kutipan umum tabung khairat masjid, bagi membantu anak kariah yang memerlukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata ketetapan itu dibuat melalui perbincangan jawatankuasa itu berhubung PKP yang dilanjutkan hingga 14 April, bagi menangani wabak COVID-19.

“Harus bagi masjid-masjid di Melaka, mengeluarkan sebahagian daripada kutipan umum tabung berkenaan, untuk digunakan membantu anak kariah yang menghadapi kesempitan hidup, dalam keadaan sekarang.

“Dengan syarat kutipan itu bukan daripada tabung yang telah dikhaskan seperti wakaf masjid, pembinaan masjid, anak yatim dan sebagainya. Sumbangan yang dikeluarkan tertakluk kepada kemampuan masjid,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam mesyuarat khas COVID-19 semalam, meluluskan Bantuan Tambahan Kecemasan (Makanan) sebanyak RM100,000, bagi pemohon bukan kategori asnaf tetapi dalam kategori B40.

“Dengan peruntukan tambahan ini, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan oleh MAIM, bagi mengurangkan beban golongan sasar itu berjumlah RM150,000.

“MAIM juga membuka Bilik Gerakan COVID-19 sejak 20 Mac dan sebarang pertanyaan, orang ramai boleh merujuk laman web rasmi dan Facebook rasmi,” katanya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X