Khamis, 26 March 2020 | 4:00pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA

'Separuh MPP tidak aktif, gagal hantar laporan'

KUALA LUMPUR: Penamatan khidmat semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), berkuat kuasa serta-merta bertujuan memberi laluan usaha penyusunan semula pentadbiran berkenaan di seluruh negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menjelaskan percaturan itu diambil selepas pihaknya mendapat laporan perkhidmatan MPP tidak memuaskan, selain separuh daripadanya gagal mematuhi garis panduan.

Bersandarkan laporan dikemukakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, beliau mendapati sebahagian MPP tidak aktif, malah tiada laporan peruntukan perbelanjaan kewangan dihantar untuk penelitian lanjut.

“Banyak MPP yang dilantik pada 2019, tidak pernah sekali pun menghantar laporan balik kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau PBT, sedangkan waktu pelantikan mereka diberikan peraturan dan kaedah (pengoperasian).

“Oleh kerana MPP diberi peruntukan dan elaun yang bukan kecil, justeru mereka perlu patuhi garis panduan, selain memaklumkan apa perbelanjaan yang dibuat (kepada PBT berkaitan).

“Selepas saya teliti (MPP di) 13 kawasan Parlimen, lebih separuh tidak pernah kemukakan laporan,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Seramai 10 Ahli Parlimen hari ini memohon kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan MPP, terutama ketika negara dilanda kemelut penularan COVID-19.

Menerusi kenyataan bersama, mereka menjelaskan MPP dikerah untuk membantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan, justeru sebarang keputusan untuk menukar pentadbiran berkenaan akan melambatkan kadar perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya golongan miskin bandar.

Mengakui kepentingan MPP kepada rakyat, Annuar memberi jaminan usaha penyusunan semula dan pemerkasaan pentadbiran itu akan mengambil masa tidak lebih daripada 14 hari.

“Kita akan berunding dan ambil pandangan, apa bentuk kita boleh baiki pada (pentadbiran MPP) masa dulu supaya ia tidak ambil masa lama.

“Saya tidak suka tangguh, (justeru usaha ini) tidak lebih 14 hari dan MPP akan berfungsi semula, malah Yang Berhormat berkaitan boleh cadang sesiapa untuk dilantik dalam MPP.

“Kita nak MPP yang dilantik boleh beri khidmat, tak boleh jadi alat kepada sesiapa, sebaliknya beri khidmat kepada penduduk tanpa kira fahaman politik, sekali gus menjamin kehidupan penduduk di Wilayah Persekutuan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X