Khamis, 26 March 2020 | 3:58pm
Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Tan Sri Annuar Musa. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

COVID-19: Operasi nyah kuman besar-besaran Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Operasi nyah kuman secara besar-besaran bagi mengekang penularan COVID-19 di empat kawasan zon merah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksanakan, Sabtu ini.

Operasi mulai jam 9 pagi berkenaan akan dilaksanakan di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Seputeh, Segambut dan Titiwangsa.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia sebahagian daripada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih bersifat agresif.

“Sebelum ini, tumpuan kita adalah mengekang jangkitan COVID-19 menerusi PKP, dengan melaksanakan konsep bertahan, merawat dan mencari mereka yang terbabit.

“Hari ini, kita buat satu keputusan untuk mengambil langkah ke depan, iaitu dalam bahasa mudah, hari itu kita bertahan, sekarang kita nak menyerang virus.

“Bagaimana untuk kita pastikan tempat awam seperti dewan, masjid, surau, jalan raya dan lorong supaya bebas daripada virus ini yang dikatakan melekat di mana-mana.

“Oleh itu, diputuskan pada mesyuarat pagi tadi, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan jalankan gerakan intensif, secara besar-besaran untuk menyah virus dalam bandar,” katanya menerusi sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook, sebentar tadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X