Khamis, 26 March 2020 | 3:38pm

Pesara sihat, baru bersara setahun jadi kriteria pemilihan KKM

KUALA LUMPUR: : Kakitangan perubatan yang bersara dalam tempoh setahun dan berada dalam keadaan sihat menjadi kriteria utama pengambilan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu barisan hadapan merawat wabak COVID-19.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata golongan pesara ini akan dibayar secara harian sepanjang tempoh berkhidmat namun jika tempoh lebih panjang diperlukan, mereka akan diikat secara kontrak selama tiga atau enam bulan.

“Kita sudah dapat kelulusan untuk menggunakan khidmat golongan pesara terdiri daripada jururawat dan kakitangan perubatan dan sudah kenal pasti mereka untuk dipanggil bertugas.

“Antara kriteria awal yang ditetapkan ialah mereka tak boleh datang daripada kelompok yang sudah lama bersara untuk memastikan kemahiran masih segar selain perlu berada dalam keadaan kesihatan yang baik, ” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, kerajaan sudah mengenal pasti 3,000 jururawat dan pegawai perubatan kontrak termasuk yang bersara untuk membantu KKM mendepani wabak COVID-19 di negara ini.

Pada masa sama, Dr Chaw Min berkata, pihaknya akan memulakan perkhidmatan mereka secepat mungkin dengan melaksanakan proses saringan terhadap golongan yang diperlukan bertugas itu.

“Namun pada masa sama, keutamaan kita juga diberikan kepada pelatih jururawat yang baru keluar daripada institut latihan, kita ambil mereka dulu dan kemudian saring golongan pesara ini, ” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran berkata, pihaknya mengalukan saranan kerajaan untuk memanggil semula doktor perubatan yang sudah bersara atau pegawai perubatan yang berkhidmat dalam angkatan tentera namun mereka mesti melalui proses latihan semula.

Beliau berkata, selain itu adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan barisan doktor yang disenaraikan itu sesuai untuk bertugas khususnya mereka berusia 60 tahun ke atas yang mungkin berisiko kerana mempunyai masalah kesihatan.

“MMA memuji cadangan KKM untuk memanggil semula doktor yang sudah bersara dan yang berkhidmat dalam tentera.

“ Ini adalah satu krisis dan segala bantuan yang boleh menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan negara amat diperlukan.

“Namun, KKM mesti memastikan mereka dilatih semula selain peralatan perlindungan diri (PPE) disediakan, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ganabaskaran berkata, MMA juga bersedia membantu malah sudah mempunyai sukarelawan yang bersedia tampil membantu KKM dalam memerangi pandemik COVID-19 ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Nor Hayati Abd Rashid, berkata keputusan kerajaan untuk ‘memasukkan’ 3,000 pasukan jururawat dan pegawai perubatan bersara sepanjang tempoh mendepani COVID-19 ini juga berupaya mengelakkan risiko berlakunya kakitangan keletihan.

“Kita amat mengalu-alukan kedatangan pasukan ini yang boleh menggantikan kakitangan yang mungkin ada risiko sakit seperti demam ketika bertugas dan mereka perlu direhatkan mengikut keperluan kerja.

“Apapun KKM tidak akan meminggirkan soal keselamatan kakitangan yang bertugas di barisan hadapan dalam mendepani wabak ini selain kita turut mengikuti SOP yang ditetapkan.

“Memang ada yang tidak dapat pulang ke rumah kerana bertugas namun kami diberikan tempat tidur dan makanan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
    Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

    Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X