Khamis, 26 March 2020 | 3:38pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) dan timbalannya Datuk Rosol Wahid. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) dan timbalannya Datuk Rosol Wahid. - Foto BERNAMA

Barang mencukupi, tak naik harga

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan bekalan barangan makanan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata KPDNHEP bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta sentiasa mengadakan pertemuan dengan pemain industri bekalan makanan dari semasa ke semasa.

“Saya dan Timbalan Menteri (Datuk Rosol Wahid) juga melakukan lawatan mengejut ke beberapa pasar raya dan tinjauan serta maklum balas daripada Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara mendapati stok bekalan keperluan mencukupi dan tiada kenaikan harga.

“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang PKP ini dikuatkuasakan. Jadi, rakyat tidak perlu melakukan pembelian panik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, bagi memastikan bekalan barangan makanan terjamin dan tidak berlaku kenaikan harga, seramai 2,500 Penguat Kuasa KPDNHEP digerakkan di seluruh negara dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat peniaga yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.

“Saya faham kesukaran yang dihadapi pengguna ketika ini, namun disaran jadilah pengguna bestari dan rancanglah perbelanjaan anda secara berhemat. Jangan membeli secara berlebihan.

“Bagi peniaga termasuk peniaga e-dagang, jadilah peniaga beretika, jujur dan tidak mengambil kesempatan dalam keadaan hari ini. Jangan sekali-kali menyorok barangan keperluan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X