X
Khamis, 26 March 2020 | 2:58pm

Jangan ingkar arahan PKP

KOTA KINABALU: Masih terdapat bot kecil penduduk Pulau Gaya dekat sini yang cuba memasuki Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu walaupun larangan keluar masuk di pulau berkenaan sudah dikeluarkan kerajaan.

Tinjauan mendapati puluhan bot kecil penduduk dari Pulau Gaya cuba memasuki jeti kira-kira jam 7 pagi tadi.

Bagaimanapun bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan operasi Inter Agensi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan laut dekat jeti bertindak mengarahkan semua bot itu berpatah balik.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Rosli Abdullah, berkata pasukan APMM bersama PDRM berkawal di kawasan berkenaan sejak jam 6 pagi lagi.

“Kelihatan orang tua, kanak-kanak juga turut berada di atas bot berkenaan. Kebanyakan mereka memberi alasan yang tidak mendesak untuk mereka mendarat,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemerhatian mendapati mereka masih berdegil dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan kepada mereka.

“Pihak berkuasa juga mengehadkan kemasukan bot kepada empat buah sahaja dalam satu masa untuk mengelakkan berlaku kesesakan di jeti.

“Bagi meraka yang tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk mendarat diarahkan berpatah balik,” katanya.

Tambah beliau, pihak APMM dan PDRM akan terus bertegas terhadap mereka dan meneruskan pemantauan.

“Operasi ini akan dijalankan pada setiap hari sehingga tamat arahan PKP ini,” katanya.

Pulau Gaya ditutup daripada sebarang aktiviti kemasukan atau keluar oleh orang awam selepas kes COVID-19 dikesan di kawasan berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X