Khamis, 26 March 2020 | 2:51pm
Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang Menteri jadi wakil MKN setiap negeri

PUTRAJAYA: Seorang Menteri Kabinet dari setiap negeri sudah diarahkan menjadi ahli mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di negeri masing-masing bagi mewakili Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat hari ini, dan berkuat kuasa serta merta.

“Menteri Kabinet itu akan menyampaikan maklumat dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam mesyuarat MKN negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya dalam sidang media MKN hari ini.

Dalam sidang media itu juga Ismail Sabri berkata Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen akan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan usaha membawa pulang rakyat dan pelajar Malaysia yang kini terkandas di beberapa negara dan berhasrat kembali ke tanahair.

Katanya, menerusi mesyuarat yang diadakan hari ini, beliau sudah meminta Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen merangka SOP bagi memudah atau cuba menyelesaikan isu berkenaan.

Kerajaan ketika ini mempunyai maklumat bahawa ada rakyat Malaysia yang berada di India, Itali, United Kingdom serta Australia yang menyatakan mereka berminat untuk kembali ke tanahair.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X