Khamis, 26 March 2020 | 2:35pm
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Laksana 'curfew' di kawasan hotspot

KUALA LUMPUR: Perintah berkurung atau ‘curfew’ di lokasi ‘hotspot’ COVID-19 perlu dilaksanakan bagi mengawal risiko wabak itu daripada merebak ke lokasi lain.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sepanjang tempoh perintah berkurung itu, kelonggaran membabitkan tempoh masa tertentu boleh diberikan kepada orang ramai yang perlu membeli barangan keperluan asas.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan boleh melaksanakan perintah berkurung itu dengan menggunapakai prosedur operasi standard seperti di Lahad Datu, Sabah pada 2013 susulan pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata Sulu.

“Kalau nak buat ‘curfew’ kena tengok pada tempat ‘hotspot’ supaya orang tidak boleh keluar masuk dan pihak berkuasa boleh memantau lebih tegas di kawasan berkenaan...kawasan ‘hotspot’ memerlukan ‘curfew’ untuk elak wabak terus merebak.

“Bagi mereka yang bertugas, boleh diberikan pas khas dan orang ramai juga diberikan masa tertentu sahaja untuk membeli barangan keperluan asas, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, menyatakan empat lokasi yang dikenal pasti sebagai zon merah jangkitan COVID-19 di ibu negara iaitu Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong dan Cheras.

Pada masa sama, Musa berkata pelaksanaan perintah berkurung tidak memerlukan pengisytiharaan darurat seperti insiden 13 Mei 1969 namun hanya perlu diisytiharkan perintah itu oleh Ketua Polis Negara.

Katanya, dengan pelaksanaan perintah berkurung, mana-mana individu yang masih degil boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Polis.

“Tidak perlu isytihar darurat, hanya Ketua Polis Negara isytiharkan ‘curfew’ di kawasan tertentu dalam tempoh 24 sahaja (terpakai) kemudian pihak kementerian (Kementerian Dalam Negeri) akan lanjutkan dalam tempoh 14 hari.

“Seperti di Lahad Datu, orang ramai tidak boleh keluar, hanya pada masa tertentu sahaja dibenarkan berbuat demikian dengan polis dan tentera akan mengawal keadaan, ” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pula berkata, kerajaan wajar diberi ruang dan masa bagi menilai keperluan melaksanakan perintah berkurung atau ‘curfew’ bagi mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata ketika ini, rakyat perlu akur dan yakin dengan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, rakyat perlu faham PKP dilaksanakan dengan kajian menyeluruh membabitkan perbincangan dengan pakar kesihatan yang peka dengan situasi COVID-19 di seluruh dunia.

“Jangan panik dan terburu-buru dalam hal ini. Bertindak secara rasional. Ini isu kesihatan dan manusia sejagat.

“Biar kerajaan menilai keadaan semasa, mereka akan buat keputusan terbaik dengan nasihat pihak berkuasa lain.

“Penilaian ‘curfew’ akan dibuat, kalau sesuai nanti boleh laksanakan. Sekarang ini kita akur dan yakin dengan keputusan PM (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X