Khamis, 26 March 2020 | 9:12am
Warganegara Bangladesh, Mohd Hamiazi (kanan) sedang menjala ikan sambil diperhatikan rakannya, Mohd Tarmidzi di Sungai Balun. - NSTP/Rosman Shamsudin
Warganegara Bangladesh, Mohd Hamiazi (kanan) sedang menjala ikan sambil diperhatikan rakannya, Mohd Tarmidzi di Sungai Balun. - NSTP/Rosman Shamsudin

COVID-19: Sungai sumber rezeki untuk kelangsungan hidup warga asing

MUALLIM: Ikan sungai menjadi sasaran pekerja warga asing di sini, demi kelangsungan hidup sejak tidak dapat bekerja susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang bekerja sebagai buruh dengan gaji harian, terpaksa berjimat cermat dengan simpanan yang ada sambil mencari hasil semula jadi sekitar penempatan masing-masing.

“Tangkap ikan sungai, makan dengan sayur, beras ada sikit sahaja,” kata buruh binaan warga Bangladesh, Mohd Hamiazi, 24, ketika ditemui di sini.

Dia ditemui ketika bersama rakannya, Mohd Tarmidzi, 23, meredah belukar untuk menjala ikan di Sungai Balun bersebelahan Taman Slim Permata, Slim River.

Mohd Hamiazi berkata, mereka berkerja sebagai buruh binaan perumahan dan dibayar gaji secara harian menyebabkan terpaksa berjimat kerana terpaksa bercuti sejak PKP bermula pada 18 Mac lalu.

Katanya, mereka dibayar gaji harian kira-kira RM70 sehari dan disebabkan tidak berkerja sepanjang PKP, masing-masing hilang punca pendapatan.

“Pagi dan petang tangkap ikan, ramai mahu makan, apa boleh buat , tak ada nasi, makan ikan dengan sayur pun jadi, kalau lapar sangat waktu malam, tidur.

“Duit kena jimat, mahu bantu keluarga di Bangladesh dan saya syukur pada Tuhan masih boleh kerja dan pasal makan tak ada apa, apa yang ada sama-sama kongsi dan makan,” katanya.

Kelibat mereka berdua menjala ikan setiap pagi dan lewat petang sering dilihat oleh orang ramai dengan membawa sebidang jala dan sebuah baldi.

Sebenarnya, mereka sendiri pun tidak kenal jenis ikan yang diperoleh setiap hari itu.

Ketika ditemui semalam, mereka baru memperoleh dua ekor ikan selat dan tiga anak ikan sebesar dua jari yang berjaya dijala di sungai sepanjang 400 meter bersambung dengan Sungai Slim itu.

Sementara itu, Mohd Tarmidzi mendakwa ikan di sungai itu semakin berkurangan kerana musim panas dan paling seronok menjala ikan ketika musim hujan.

Beliau mengakui penat berjalan kaki menemankan rakannya dan kadangkala seekor ikan pun tidak diperoleh, selain pernah dikejar ular serta terserempak babi hutan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X