Rabu, 25 March 2020 | 8:59pm

Yayasan MRCB sumbang RM500,000 bantu KKM

KUALA LUMPUR: Yayasan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN.

Dalam satu kenyataan, Yayasan MRCB memaklumkan, peruntukan itu adalah sebagai solidariti bersama kerajaan dalam usaha mengekang dan menghentikan penularan wabak coronavirus (COVID-19) di negara ini.

Beliau berkata, sumbangan itu juga adalah komitmen Yayasan MRCB untuk berganding bahu bersama GLC dan GLIC lain untuk membantu usaha Kementerian Kesihatan (KKM) membendung pandemik itu.

“Peruntukan ini khusus untuk membekalkan peralatan perubatan utama dan penting, termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat bantuan pernafasan bagi memenuhi keperluan KKM, hospital dan orang awam.

“Yayasan MRCB komited meneruskan usaha ini menjangkau tempoh kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu komuniti yang kurang bernasib baik yang amat terkesan dengan wabak COVID-19,” kata kenyataan itu, hari ini.

GDRN yang diuruskan sekretariat bersama diketuai Yayasan Hasanah yang berada di bawah Khazanah Nasional Berhad serta Telekom Malaysia Berhad (TM), berjaya mengumpul dana berjumlah RM40 juta setakat ini.

Ketika ini, lebih 15 GLC, GLIC dan entiti swasta berikrar menyokong GDRN bagi memastikan setiap usaha diuruskan secara selari dan profesional.

Kepada pihak individu atau organisasi yang berminat untuk menyumbang menerusi GDRN dan Yayasan Hasanah boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian +6019-2782707 atau emel anita.ahmad@hasanah.org.my.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X