Rabu, 25 March 2020 | 7:01pm

COVID-19: 172 kes baharu dikesan dengan empat kematian

PUTRAJAYA: Sejumlah 172 kes baharu COVID-19 dikesan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan kes positif wabak berkenaan di Malaysia meningkat kepada 1,796 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya mendapati 71 daripada kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Seri Petaling.

Menurut beliau, baki 101 kes lagi masih dalam siasatan, bagi menentukan punca sebenar jangkitan atau melihat jika ia memiliki kaitan dengan kluster lain.

“Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa terdapat 16 kes yang telah pulih dan pesakit juga dibenarkan untuk didiscaj hari ini.

“Perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah kes kumulatif yang diisytiharkan pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan dibenarkan discaj dari wad ialah 199,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat kementerian di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 45 pesakit yang positif COVID-19 kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 34 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat pertambahan empat (4) lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

“Laporan terbaharu ini dan satu (1) pelaporan melalui siaran di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan malam tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 19 kes,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-16 ialah kes ke-1334, membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun.

Beliau mempunyai latar belakang penyakit kronik dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac 2020 sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac.

“Kesihatan beliau merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU dan kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 24 Mac jam 7.40 malam.

“Kes kematian ke-17 pula ialah kes ke-1,251 membabitkan warga Malaysia berumur 66 tahun yang turut memiliki latar belakang penyakit kronik dan disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 20 Mac, namun tahap kesihatan beliau semakin merosot dan telah diberi bantuan pernafasan di ICU, tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 4.10 pagi tadi.

Kematian ke-18 pula jelas beliau, terdiri daripada kes ke-1,625 iaitu lelaki warga Malaysia berumur 56 tahun.

“Beliau juga memiliki latar belakang penyakit kronik dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 2.00 pagi pada 23 Mac.

“Kes kematian ke-19 ialah kes ke-1,246 seorang wanita warga Malaysia berumur 68 tahun.

“Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac tetapi tahap kesihatannya semakin merosot dan diberi bantuan pernafasan di ICU, sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.53 pagi tadi,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X