Selasa, 24 March 2020 | 11:00pm
Ketua polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto fail NSTP
Ketua polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto fail NSTP

COVID-19: Sedia berdepan, bukti polis sanggup berkorban - KPN

KUALA LUMPUR: Kesediaan untuk berada dalam situasi berisiko tinggi seperti ancaman wabak COVID-19 adalah bukti nyata anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata tahun ini polis sanggup mengetepikan keselamatan diri demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut COVID-19.

”Jika sebelum ini, 25 Mac dilihat sebagai tarikh keramat untuk mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira terdahulu yang berjuang demi kedaulatan dan keamanan negara, maka pada tahun ini, kita turut meraikan pengorbanan warga PDRM,

“Kesediaan kita meletakkan diri dalam situasi berisiko tinggi, yang boleh mendedahkan kita pada jangkitan wabak itu, adalah bukti nyata, mengenai sejauh mana kita sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara,” katanya dalam Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah sejarah apabila buat pertama kali Peringatan Hari Polis tidak disambut kerana negara sedang berdepan ancaman COVID-19.

“Maka kesemua program yang direncanakan sebagai pengisian sambutan Hari Polis 2020, tidak dapat dilaksanakan, demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa bangga dengan segala komitmen dan pengorbanan yang ditunjukkan setiap warga PDRM, yang ikhlas menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko yang boleh mengancam nyawa sendiri, walaupun badai datang melanda, bercerai jasad dan nyawa, kita sanggup melakukan apa sahaja demi kesejahteraan dan kepentingan masyarakat seluruhnya,” katanya.

Beliau turut meminta, setiap anggota PDRM bersemangat dalam melaksanakan PKP agar rantaian penularan COVID-19 berjaya diputuskan,

“Sempena ulang tahun Peringatan Hari Polis kali ini, saya mengajak seluruh warga pasukan untuk pasakkan tekad dan membulatkan iltizam, dalam melaksanakan PKP agar rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan kerana tindakan ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya gelombang ketiga, yang berupaya membawa implikasi yang lebih serius kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya inilah jihad kita, demi agama, bangsa dan negara,” katanya yang turut menasihati masyarakat mematuhi arahan kerajaan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X