Selasa, 24 March 2020 | 4:53pm

COVID-19: Guna dron sampaikan mesej PKP di 12 'lokasi panas'

KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan akan menggunakan dron bagi memantau pergerakan orang ramai dan menyampaikan mesej berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 12 ‘lokasi panas’ penularan COVID-19 di ibu kota.

Dron berkenaan yang dilengkapi dengan sistem pembesar suara akan digunakan menyampaikan mesej berkaitan PKP dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil di ‘lokasi panas’ seperti Petaling Jaya, Lembah Pantai, Titiwangsa serta beberapa lokasi lain.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penggunaan dron dalam kawalan pasukan keselamatan ini adalah tindakan berkesan dalam membuat kawalan dan pengawasan dengan lebih cepat.

"Dron ini boleh terbang dengan senyap dan mampu digerakkan ke lokasi yang sukar dimasuki oleh pasukan keselamatan serta digerakkan untuk pemantauan.

"Selain dari 12 lokasi panas, dron juga akan digerakkan ke kawasan sasaran yang dikenal pasti masih ada orang ramai yang degil dengan melanggar arahan PKP," katanya ketika menyaksikan ujian penggunaan dron di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta pegawai kanan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Affendi berkata dengan penggunaan dron, sebarang bentuk arahan dapat disampaikan dengan berkesan untuk mencapai objektif PKP dan mengurangkan penularan COVID-19.

"Dron adalah aset kerajaan dan dalam pada masa sama kita juga menerima sumbangan daripada peserta industri tempatan untuk digunakan lebih banyak untuk memantau pergerakan serta membuat liputan di sesuatu lokasi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Dron digunakan bagi memantau pergerakan orang ramai berkaitan PKP di 12 ‘lokasi panas’ penularan COVID-19 di ibu kota.
    Dron digunakan bagi memantau pergerakan orang ramai berkaitan PKP di 12 ‘lokasi panas’ penularan COVID-19 di ibu kota.
    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) dan Tan Sri Abdul Hamid Bador melihat sistem kawalan dron ketika ujian penggunaan alat itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.
    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) dan Tan Sri Abdul Hamid Bador melihat sistem kawalan dron ketika ujian penggunaan alat itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

    Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X