Selasa, 24 March 2020 | 11:24am
DUTA Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohamed BA Hamid. - Foto Faiz Anuar
DUTA Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohamed BA Hamid. - Foto Faiz Anuar

Duta negara Arab yakin Malaysia mampu tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Duta negara Arab di negara ini yakin Malaysia di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menangani penularan wabak COVID-19.

Duta Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohamed BA Hamid, berkata kedutaannya menyokong penuh inisiatif, langkah dan keputusan Kerajaan Malaysia berhubung usaha membendung wabak itu.

“Bagi kerajaan dan rakyat Yaman, kami menyatakan sokongan penuh dan bersama-sama saudara kami di sini untuk membasmi penularan wabak ini dan yakin kerajaan Malaysia serta Kementerian Kesihatan (KKM) mampu menanganinya.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan Malaysia, kami memandang serius langkah ini dan menggesa rakyat Yaman menetap di sini sentiasa mematuhi setiap arahan dari semasa ke semasa,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Adel berkata, hingga kini, tiada rakyat Yaman di negara ini dijangkiti virus itu dan pihaknya akan terus memantau.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, berkata pihaknya yakin semua langkah diambil kerajaan Malaysia demi melindungi rakyat dan penduduk termasuk pegawai diplomatik serta warga asing.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengehadkan penyebaran COVID-19, sejajar dengan usaha antarabangsa.

“Langkah sama turut diambil banyak negara termasuk kerajaan Arab Saudi. Perjuangan membanteras virus ini memerlukan penerapan undang-undang ketat daripada kerajaan mahupun rakyat, dengan cara ini pasti akan menyumbang secara positif dalam mengurangkan rantaian jangkitan.

“Kami percaya usaha bersepadu di peringkat kebangsaan, antarabangsa dan serantau ialah cara paling pantas serta efektif bagi membasmi penularan virus ini,” katanya.

Pada perkembangan sama, Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith memuji tindakan pantas kerajaan Malaysia.

Khalid berkata usaha itu membuktikan kerajaan serius dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Selaras dengan arahan kerajaan Malaysia dan Wisma Putra, kami menutup pejabat Kedutaan UAE di sini dan beroperasi dari rumah bermula 18 hingga 31 Mac,” katanya.

Duta UAE itu turut menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam membasmi COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf UAE sebagai negara contoh dalam menangani penularan virus berkenaan.

Sementara itu, Duta Mesir ke Malaysia, Gamal A Metwally, berkata arahan PKP yang dikeluarkan kerajaan Malaysia ialah langkah penting untuk negara dan rakyatnya, khususnya ketika peningkatan kadar jangkitan.

Gamal berkata, Kedutaan Mesir di sini komited mematuhi langkah itu dengan mengarahkan semua kakitangannya bekerja dari rumah.

“Pekeliling turut diedarkan kepada komuniti Mesir di negara ini dengan mengarahkan semua rakyat Mesir mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan negara ini,” katanya.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, berkata Palestin mendoakan supaya Allah SWT memelihara Malaysia dan rakyatnya serta memperoleh kejayaan dalam menempuhi ujian dan saat sukar ini.

“Saya memohon rakyat Palestin yang menetap di negara ini sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Kami sentiasa menganggap Malaysia umpama rumah kedua kami.

“Kami memberhentikan operasi di kedutaan dan menggantikan sistem dalam talian sebagai pelan alternatif bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat kami di sini dapat diteruskan.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Bahrain di Malaysia, Maram Al-Saleh, berkata langkah diambil kerajaan Malaysia amat bertepatan, yakin negara ini mampu mengawal penularan dan keadaan akan pulih seperti biasa.

16 Mac lalu, Malaysia mengumumkan PKP berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X