Isnin, 23 March 2020 | 5:21pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Kedutaan Malaysia di luar negara terus pantau, hulur bantuan

KUALA LUMPUR: Beberapa kedutaan Malaysia di luar negara terus melakukan pemantauan dan memberikan bantuan berikutan penularan wabak COVID-19.

Wisma Putra melalui Twitter menyatakan Kedutaan Malaysia di Jepun, Mesir dan Korea dari semasa ke semasa terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia di negara masing-masing.

Di Tokyo, Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan sentiasa memantau situasi jangkitan wabak berkenaan dan mengambil berat rakyat Malaysia yang berada di sana.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ahli keluarga, saudara mara dan sahabat di negara itu boleh menghubungi kedutaan di +81-3-3476-3840 atau emel mwtokyo@kln.gov.my.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda sentiasa berhubung dengan pasukan respons COVID-19 dan meneliti perkembangan rakyat Malaysia di sana.

Sebarang maklumat mengenai rakyat Malaysia di Korea Selatan boleh diperoleh melalui talian +82-2-2077 8600, +8210 8974 8699 atau mwseoul@kln.gov.my

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Mesir terus berhubung dengan rakyat kita yang terkandas di negara itu.

Pihak kedutaan dan Pejabat Perwakilan Malaysia memperluas bantuan yang diperlukan untuk memastikan kesemua 78 rakyat Malaysia dapat kembali ke tanah air.

Namun, Wisma Putra tidak menyatakan tarikh untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas itu.

Kedutaan Malaysia boleh dihubungi di talian +202 3761 0013, +202 3761 0019, +01200276388 atau emel mwcairo@kln.gov.my.

Berita Harian X