Isnin, 23 March 2020 | 1:10pm
POLIS bersama anggota tentera melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Pantai Peranginan Kelulut. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
POLIS bersama anggota tentera melakukan tinjauan di sekatan jalan raya di Pantai Peranginan Kelulut. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

Polis yakin kekal 95 peratus pematuhan PKP

MARANG: Polis yakin dapat mengekalkan 95 peratus kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata pihaknya berjaya mencapai sasaran 95 peratus pematuhan PKP pada hari keenam berbanding 90 peratus pematuhan semalam.

“Kebanyakan kenderaan yang dikesan berada di jalan raya membabitkan perkhidmatan penting negara dan mereka yang mempunyai kes kecemasan.

“InsyaAllah, dengan bantuan pihak tentera, kita yakin boleh luas lebarkan lagi sekatan jalan raya dan ‘snap check’ dan kita boleh kekalkan pematuhan PKP itu sehingga 31 Mac ini.

“Saya nampak masyarakat mula sedar bahaya COVID-19 ramai yang memakai topeng muka, ramai yang patuh dengan PKP,” katanya selepas pemantauan sekatan jalan raya di Pantai Peranginan Kelulut, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Roslee turut meluahkan kebimbangan trend pematuhan PKP itu mungkin meningkat selepas tempoh pergerakan tamat.

Katanya, orang ramai yang pulang bercuti sebelum tempoh itu dikuatkuasakan akan mula kembali ke tempat mereka bertugas.

“Kita berharap Majlis Keselamatan Negara buat satu kajian sama ada perlu supaya mereka kekal di kawasan di kampung masing-masing dan jangan pulang sehingga tempoh PKP habis,” katanya.

Berita Harian X