Isnin, 23 March 2020 | 12:16am

PKP: Masih ramai yang degil

KUALA LUMPUR: Masih ramai individu gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membawa keluarga memasuki pusat bandar.

Malah ketika ditahan, masih ramai memberi alasan mahu membeli barang sedangkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sudah secara jelas mengehadkan pergerakan keluar rumah hanya untuk tujuan membeli kelengkapan harian dan dilakukan ketua keluarga saja.

Senario itu dikongsikan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis (ACP) Zairulnizam Mohd Zainuddin ketika ditemui dalam operasi sekatan jalan raya membabitkan pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Bangsar, malam tadi.

Beliau berkata, walaupun arahan yang dikeluarkan kerajaan secara jelas mengehadkan pergerakan, hingga jam 10 malam tadi masih ramai memandu masuk ke pusat bandar.

Asisten Komisioner Polis (ACP) Zairulnizam Mohd Zainuddin. - Foto Azrul Affandi Sobry
Asisten Komisioner Polis (ACP) Zairulnizam Mohd Zainuddin. - Foto Azrul Affandi Sobry

Justeru, katanya, pada peringkat ini pihak polis masih menggunakan pendekatan memberi nasihat dan meminta mereka segera pulang ke rumah serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan.

“Setakat ini kami tidak halang mereka. Cuma, kami beri nasihat dan minta mereka patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Kadar pematuhan bagi saya masih rendah kerana ramai lagi yang keluar tanpa sebab dan membawa pula keluarga bersama.

“Kami amat berharap keadaan ini akan semakin baik terutama dengan bantuan pihak ATM yang bersama dalam operasi kami kali ini,” katanya.

Mengenai bantuan yang diberikan anggota tentera, Zairulnizam berkata, polis masih lagi menjadi pasukan hadapan dalam melaksanakan penguatkuasaan tetapi anggota tentera lebih berperanan membantu melancarkan operasi bersama itu.

Anggota tentera membantu operasi sekatan jalan raya polis di Jalan Bangsar, malam tadi. - Foto Azrul Affandi Sobry
Anggota tentera membantu operasi sekatan jalan raya polis di Jalan Bangsar, malam tadi. - Foto Azrul Affandi Sobry

Tambahnya, rakyat tidak perlu takut dengan pelbagai dakwaaan mengatakan akan berlaku kekerasan kerana setakat ini, peranan polis dan tentera lebih kepada memastikan orang ramai memahami dan patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Operasi sekatan jalan raya membabitkan pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Bangsar, malam tadi. - Foto Azrul Affandi Sobry
    Operasi sekatan jalan raya membabitkan pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jalan Bangsar, malam tadi. - Foto Azrul Affandi Sobry
    Berita Harian X