X
Ahad, 22 March 2020 | 6:34pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

COVID-19: Angka kematian kini 10

PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat penularan wabak COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 10 kematian setakat petang ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kematian ke-10 itu membabitkan seorang lelaki Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh, iaitu kes ke-259.

Lelaki itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 13 Mac lalu selepas mengalami simptom pada 8 Mac lalu.

"Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 14 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaan kesihatannya semakin merosot.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, 22 Mac 2020," katanya.

Kematian lelaki warga emas itu adalah yang kedua hari ini selepas kematian seorang doktor perubatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

Sementara itu, setakat hari ini, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 25 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan dilepaskan daripada wad adalah sebanyak 139 kes.

"Setakat jam 12 tengah hari 22 Mac 2020, ada 123 kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

"Berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Sebanyak 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian," katanya.

Seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seramai 22 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X