Ahad, 22 March 2020 | 5:49pm
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

COVID-19: Kerajaan tidak kompromi soal kebajikan pekerja

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi berkaitan soal kebajikan pekerja susulan mendapat laporan masih ada kilang yang beroperasi, pekerja dipaksa mengambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu sudah tentu akan menggagalkan usaha kerajaan dalam menangani dan memecahkan rantaian penularan wabak coronavirus (COVID-19).

Ketika ini, beliau berkata, kerajaan memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk majikan dan pekerja bagi menghasilkan kaedah penyelesaian positif.

“Tempoh dua minggu PKP adalah tempoh paling mencabar sedang dihadapi oleh semua rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya langkah ini (PKP) akan memberi impak besar kepada warga pekerja dan perniagaan tempatan. Namun demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi arahan PKP ini.

“Wabak ini harus dibendung dan kesepaduan kita dalam perkara ini adalah amat penting untuk mencapai kejayaan yang diingini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, COVID-19 tidak memberi peluang kepada individu untuk mencuba sesuatu inisiatif malah masa tidak berpihak kepada rakyat dalam soal penularan wabak berkenaan.

“Pilihan kita adalah terhad, sama ada kita berjaya membendung wabak ini dalam dua minggu ini, atau bersiap siaga untuk menghadapi gelombang ketiga yang berkemungkinan akan lebih mencabar.

“Mungkin juga akan memudaratkan lagi keadaan sedia ada,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X