Ahad, 22 March 2020 | 5:36pm
Menara MARA, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Menara MARA, di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Soalan Lazim: Kementerian Pembangunan Luar Bandar

S: Adakah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan beroperasi seperti biasa?

J: Selaras dengan Arahan Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu pejabat KPLB dan semua Pejabat KPLB Negeri (PKN) ditutup mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

S: Adakah Pusat Komuniti Desa (PKD) masih dibuka?

J: Operasi Pusat Komuniti Desa (PKD) ditutup kepada orang ramai mulai 18 hingga 31 Mac 2020.

S: Adakah program-program KPLB yang membabitkan perhimpunan ramai diteruskan?

J: Semua program KPLB yang membabitkan perhimpunan ramai ditangguhkan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

S:. Adakah invois tuntutan yang dikemukakan oleh pembekal bagi perkhidmatan yang sudah disempurnakan akan diproses dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

J: Invois tuntutan bayaran yang sudah lengkap akan diproses dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

S: Bagaimanakah kedudukan tender atau sebut harga yang sudah dipelawa tetapi tarikh tutupnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

J: Tarikh tutup tender atau sebut harga sudah dilanjutkan sebagaimana hebahan yang sudah dibuat melalui platform pelawaan dibuat termasuk di portal KPLB.

S: Bagaimanakah kedudukan tender atau sebut harga yang sudah tamat tempoh sah laku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

J: Tarikh sah laku tender atau sebut harga sudah dilanjutkan sebagaimana hebahan yang sudah dibuat melalui platform pelawaan dibuat.

S: Adakah taklimat tender atau sebut harga yang dijadualkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan diteruskan?

J: Taklimat tender atau sebut harga sudah ditangguhkan atau dibatalkan dan dijadualkan semula selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tertakluk kepada keperluan tender atau sebut harga.

MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA)

S: Adakah semua Institusi Pendidikan MARA ditutup?

J: Ya, semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA) meliputi 53 buah MRSM, 13 cawangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tujuh cawangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), 231 buah GIATMARA, 10 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), 14 buah Institut Kemahiran MARA (IKM), enam buah Kolej Profesional MARA (KPM), empat buah Kolej MARA (KM), German-Malaysian Institute (GMI), Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII) ditutup selaras dengan arahan usaha kerajaan mencegah penularan wabak Covid-19 bermula 18 hingga 31 Mac 2020.Tarikh mula pengajian atau pulang ke IPMA adalah bermula pada 1 April 2020 atau pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

S: Bilakah sesi pengajian atau kuliah akan bermula?

J: Sesi pengajian dan kuliah hanya akan bermula selepas 31 Mac 2020 atau pada tarikh lain mengikut institusi masing-masing.

S: Bagaimana dengan pelajar yang sedang menjalani latihan industri?

J: Pelajar yang sedang mengikuti Latihan Industri atau Work Based Learning di industri ditangguhkan mulai 18 hingga 31 Mac 2020 kecuali bagi industri penyedia perkhidmatan penting negara. Pihak industri boleh mempertimbangkan kelulusan cuti kepada pelajar atas persetujuan pihak industri yang terbabit.

S: Adakah semua premis perniagaan MARA perlu ditutup?

J: Ya, membabitkan semua kompleks perniagaan, bazar, arked, kawasan industri dan medan selera kecuali bagi usahawan yang menjalankan perniagaan yang dibenarkan sahaja seperti pasar raya, pasar awam, kedai runcit, farmasi dan kedai serbaneka yang menjual barang keperluan harian.

S: Adakan sekatan perjalanan dikenakan kepada pelajar tajaan MARA ke luar negara atau pulang?

J: Ya, pelajar tajaan MARA tidak dibenarkan sama sekali untuk ke luar negara sepanjang tempoh sekatan perjalanan. Manakala bagi pelajar yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

S: Apakah yang perlu dilakukan oleh pelajar tajaan MARA yang baru pulang dari luar negara?

J: Pelajar perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X