Ahad, 22 March 2020 | 12:05pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - Foto Danial Saad
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - Foto Danial Saad

Polis 'jemput" di rumah

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan ‘menjemput’ ahli tabligh di rumah masing-masing jika masih degil dan enggan melakukan ujian saringan kesihatan.

Langkah drastik itu perlu diambil bagi mengekang penularan COVID-19.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata pihaknya bersama pegawai kesihatan akan ke rumah ahli jemaah tabligh berkenaan untuk membawa mereka melakukan pemeriksaan.

“Buat masa ini, kita tiada jumlah sebenar ahli tabligh yang menyertai perhimpunan itu tetapi kita memang dapat arahan untuk kesan dan buru mereka yang masih degil, berselindung dan bersembunyi.

“Kita sudah banyak kali minta mereka tampilkan diri buat pemeriksaan namun sehingga hari ini, masih ada yang ingkar jadi kita akan pergi ambil mereka di rumah bersama kakitangan kesihatan.

“Jika mereka ini enggan dan melawan, kita akan tangkap dan dakwa mereka dibawah Penal Code (Kanun Keseksaan) kerana menghalang penjawat awam dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika melakukan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar daerah Kuala Terengganu hari ini.

Tambah Roslee lagi, lebih 380 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu pihaknya sepanjang PKP.

Katanya, semua anggota ATM itu akan ditugaskan bermula petang ini dengan penugasan yang sistematik sudah diatur bagi memastikan tahap pematuhan PKP dapat dipertingkatkan.

“Aturannya, kalau kita buat roadblock (sekatan jalan raya), tiga polis, tiga ATM dan kalau kita buat ‘snap check’, dua polis, dua ATM.

“Jadi sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada ATM yang suci hati memberi bantuan keanggotaan untuk membantu tugas kita bagi pelaksanaan PKP ini.

“Saya yakin kadar pematuhan itu terus dapat dipertingkatkan dan mencapai tahap 95 peratus,” katanya.

Roslee berkata, pihaknya terus mengadakan sekatan jalan raya serta menutup laluan utama ke semua pusat bandar di seluruh daerah.

“Inisiatif yang dilakukan sejak Jumaat itu bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh PKP dalam usaha mengurangkan pergerakan orang ramai yang tiada hala tujuan di kawasan pusat bandar,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X