X
Ahad, 22 March 2020 | 10:05am
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

COVID-19: Malaysia cari jalan penyelesaian bawa pulang rakyat terkandas

PUTRAJAYA: Wisma Putra sedang bertungkus-lumus untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian supaya rakyat Malaysia di luar negara dapat kembali ke tanah air dengan segera.

“Seperti semua sedia maklum, walaupun ramai dapat dibawa pulang ke tanah air, masih ada rakyat kita yang terkandas di luar negara susulan pendirian kerajaan di sana berkait COVID-19.

“Wisma Putra sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian agar semua dapat pulang dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata, beliau tahu ada segelintir masyarakat di negara ini tidak bersetuju dengan tindakan membawa pulang rakyat Malaysia itu kerana bimbang ia akan meningkatkan risiko jangkitan COVID-19.

“Namun, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan pernah berhenti berusaha untuk membawa rakyat Malaysia pulang.

“Negara ini milik mereka juga. Justeru, mereka ada hak untuk pulang ke tanah air pada bila-bila masa. Pun begitu, saya juga mahu mengingatkan mereka yang dibawa pulang supaya apabila tiba di Malaysia, patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan. Pastikan juga diri dikuarantin selama 14 hari.

“Biarpun agak membebankan, langkah ini penting untuk menghentikan penularan COVID-19. Kerajaan dan Wisma Putra sudah membantu saudara-saudari untuk pulang.

“Justeru, saya berharap saudara-saudari juga boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab. Saya turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, dalam kita mendepani COVID-19, ketepikanlah segala perbezaan dan hapuskanlah kebencian. Sekarang ialah masa untuk kita mengutamakan kesihatan diri serta kepentingan negara,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan beberapa negara lain bagi mendapatkan bantuan dalam usaha memerangi COVID-19.

“Dalam keadaan sekarang, bukan saja kita tidak boleh berkira bagi membantu sesama sendiri tetapi juga kita perlu bersikap terbuka untuk menerima bantuan daripada sesiapa saja yang diyakini ikhlas untuk membantu kita.

“Misalnya, Wisma Putra sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan China. Keakraban inilah yang membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan seperti topeng mulut dan hidung, hand sanitisers dan ‘test kits’ (kelengkapan ujian) COVID-19 serta kelengkapan keselamatan untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

“Wisma Putra juga sentiasa bekerjasama rapat dengan negara jiran seperti Indonesia, bagi berkongsi maklumat dan membantu mengenal pasti rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tabligh di sana, baru-baru ini.

“Selain itu, kita berganding bahu dengan Kerajaan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di sana, yang sebahagiannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Malah, Hishammuddin berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan rakan negara di Asia Barat bagi mendapatkan pertolongan memerangi COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak menyangka Malaysia akan mendapat banyak bantuan daripada pelbagai negara.

Hishammuddin percaya bantuan berkenaan bukan disebabkan beliau memegang jawatan sebagai Menteri Luar, sebaliknya ia berasaskan pengiktirafan dan penghormatan negara luar terhadap Malaysia serta menganggap negara ini sebagai rakan akrab dalam komuniti antarabangsa.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa. Kita mesti sedar yang sikap kita sebagai rakyat Malaysia turut diperhatikan dari seluruh dunia. Tiada gunanya Malaysia menerima pelbagai bantuan tetapi pada masa sama, sebahagian rakyat tidak mematuhi perintah kerajaan sendiri.

“Nasihat saya, kita tiada pilihan selain mesti berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X