Sabtu, 21 March 2020 | 1:22pm
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican. - Foto Saifullizan Tamadi
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican. - Foto Saifullizan Tamadi

COVID-19: Penularan luar kawalan jika rakyat tiada disiplin diri

KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 di negara ini, dikhuatiri merebak hingga di luar kawalan, jika rakyat tidak mempunyai disiplin untuk membantu membendung wabak berkenaan.

Ketika menyuarakan kebimbangan itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, menyifatkan pendekatan langkah pengasingan dan kuarantin sebenarnya sudah terlalu lambat untuk dilaksanakan apabila negara kini berada di fasa akhir, iaitu mitigasi.

Sehubungan itu, katanya, kemungkinan untuk Malaysia ‘sembuh’ daripada cengkaman COVID-19 lebih bergantung kepada tindakan dan usaha dalam kalangan rakyat sendiri.

“Janganlah pula berselindung, sekiranya mereka pernah berkunjung ke tempat yang menjadi pusat penularan COVID-19, lebih baik berterus terang dan terus melaksanakan kuarantin selama 14 hari.

“Ini tidak, mereka masih bercampur dengan semua orang sehingga menjadikan kes semakin meningkat, malah kemudahan Kementerian Kesihatan akan menjadi terhad.

“Jadi, suka atau tidak, kerajaan akhirnya perlu mendapatkan bantuan hospital swasta dengan meminta pertimbangan mengenai isu caj rawatan yang bakal dikenakan kepada pesakit,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan segelintir pihak apabila baki 4,000 daripada jemaah ijtima tabligh di Masjid Seri Petaling sehingga kini masih enggan tampil untuk mendapatkan saringan di hospital berkaitan.

Kegusaran dalam kalangan masyarakat turut tercetus apabila wujud laporan bahawa kerajaan kini berusaha menempah 800 lagi ventilator bagi menampung keperluan semasa, khususnya pesakit COVID-19 yang kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi memastikan usaha menangani penularan COVID-19 dilaksanakan secara berkesan, Dr Ismail menyuarakan harapan supaya mekanisme komunikasi antara pemimpin dan rakyat berupaya ditingkatkan.

“Kita kena beri perhatian aspek ini kerana ada segelintir masyarakat yang masih tidak tahu betapa seriusnya wabak COVID-19, malah ada tidak ambil peduli langsung.

“China berjaya mengekang penularan wabak ini kerana rakyatnya mempunyai disiplin kendiri, jadi penduduk di Malaysia harus memainkan peranan sama.

“Syaratnya, pemimpin ketika tampil mengendalikan sidang media harus menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat, jangan buat perkara yang akhirnya memberi kesimpulan bahawa golongan atasan pun tidak faham apa yang patut dilakukan.

“Kita harus ingat, setiap apa yang dilakukan, termasuk gerak tubuh ketika sidang media harian COVID-19 berupaya menjadi mesej kepada rakyat, jadi jaga profesionalisme masing-masing,” katanya.

Bersandarkan pengalaman mengendalikan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, Dr Ismail menegaskan bahawa keghairahan mempolitikkan semua perkara ketika ini harus diketepikan, demi menjaga kebajikan rakyat. -

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X