Jumaat, 20 March 2020 | 8:43pm
 Keadaan jerebu yang melanda ibu negara pada Ogos 2019. - Foto BERNAMA
Keadaan jerebu yang melanda ibu negara pada Ogos 2019. - Foto BERNAMA

Hindari pembakaran terbuka

KUALA LUMPUR: Orang ramai dilarang membuat pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering, khususnya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini, menjelaskan pihaknya akan terus melakukan rondaan harian ke kawasan berisiko tinggi berlaku insiden pencemaran, walaupun negara kini dalam tempoh pelaksanaan perintah berkenaan.

Tangkapan boleh dibuat ke atas individu yang ditemui ketika kejadian pembakaran terbuka dengan pesalah boleh didenda maksimum RM500,000, penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kompaun maksimum bernilai RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil dan melapor kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan talian bebas tol 1800882727.

“Stesen pengawasan kualiti udara beroperasi seperti biasa dan data Indeks Pencemar Udara (IPU) boleh didapati di laman sesawang JAS iaitu http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di ‘Google Play’ dan ‘App store’,” katanya.

Sebanyak 18 kawasan mencatatkan IPU baik, manakala 50 lagi sederhana dan tiada kawasan merekodkan IPU tidak sihat, seperti dilaporkan di laman sesawang JAS, setakat jam 1 tengah hari tadi.

Berita Harian X