Jumaat, 20 March 2020 | 7:08pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff. - Foto Fariz Iswadi Ismail

COVID-19: Guru Takmir Masjid lantikan JAKIM diberi elaun penuh

KUALA LUMPUR: Seramai 4,000 guru Takmir Masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di seluruh negara akan menerima elaun penuh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff, berkata elaun penuh itu akan diberikan walaupun guru berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas masing-masing ekoran perintah terbabit.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersetuju supaya pembayaran elaun penuh iaitu sebanyak RM800 diteruskan kepada Guru Takmir walaupun sesi pembelajaran tidak dapat diadakan sepanjang tempoh berkenaan.

“Ini adalah sebahagian inisiatif #Musaadahcovid19 diperkenalkan Zulkifli bagi meringankan beban pihak yang terjejas dengan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor mengumumkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

Perintah kawalan selama 14 hari dan berkuat kuasa sejak kelmarin itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X