Jumaat, 20 March 2020 | 3:13pm

COVID-19: Duta Azerbaijan puji langkah Malaysia tangani penularan virus

KUALA LUMPUR: Azerbaijan menyuarakan sokongan dan penghargaan terhadap Kerajaan Malaysia kerana mengambil langkah ketat membendung penularan COVID-19, kata Duta ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev.

Menerusi surat tahniah bagi pihak wakil misi diplomatik di Malaysia serta dirinya kepada Menteri Luar Malaysia yang baru dilantik, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Khamis, duta itu berkata, langkah sama turut diambil di Azerbaijan.

“Dan kerajaan kami serta agensi berkaitan sedia bekerjasama dengan rakan sejawatan dari Malaysia bagi menangani pandemik ini,” katanya menerusi surat yang salinannya turut dihantar ke Bernama.

Kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan kes COVID-19, bermula 18 hingga 31 Mac.

Allahverdiyev yang juga mengetuai perwakilan diplomatik asing di Malaysia turut berkata, peningkatan kes COVID-19 turut mencetuskan kebimbangan pegawai dan keluarga kedutaan yang berada di negara ini.

“Sehubungan itu, saya memohon jasa baik pihak tuan bagi menggesa pihak berkuasa tempatan menetapkan sebuah pusat perubatan bagi membolehkan pegawai kedutaan asing serta keluarga mereka, mendapatkan khidmat jika keadaan memerlukan,” katanya.

Allahverdiyev turut berkata, beliau berharap dapat bekerjasama lebih rapat dengan Hishamuddin untuk mengukuhkan lagi kerjasama Baku-Kuala Lumpur dalam semua peringkat. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X