Khamis, 19 March 2020 | 3:54pm

Kedutaan di Malaysia ambil langkah sewajarnya

KUALA LUMPUR: Kedutaan asing di Malaysia turut mengambil beberapa langkah perlu, susulan keputusan kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penularan kes COVID-19.

Antaranya, arahan bekerja dari rumah, mengurangkan bilangan kakitangan yang bertugas dan memendekkan waktu bekerja, selain menyediakan talian hotline 24 jam dan media sosial digunakan sebagai saluran untuk membantu rakyat negara masing-masing dalam masa yang mencabar ini.

Perintah kawalan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac.

Duta Azerbaijan ke Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev, berkata kedutaan melaksanakan beberapa sekatan dengan hanya menyediakan perkhidmatan konsular bila keadaan benar-benar memerlukan.

Beliau berkata kedutaan turut menawarkan perkhidmatan hotline 24 jam (+6017 2398943) dan media sosial untuk warganya di Malaysia dan tiga negara ASEAN Thailand, Myanmar dan Brunei.

“Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh hubungi segera perkhidmatan konsular,” katanya kepada Bernama.

Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Mohib Rahman Spingar, berkata jumlah kakitangan yang bertugas dikurangkan kepada dua kakitangan setiap empat jam setiap hari.

Katanya, kini terdapat kira-kira 700 penuntut Afghanistan serta ahli perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia, dalam satu kenyataan, berkata Suruhanjaya Tinggi masih beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Perlu faham, pastinya perkhidmatan tidak beroperasi seperti biasa kerana kami telah memulakan arahan bekerja secara jarak jauh kepada kakitangan kami sebagai mematuhi perintah kawalan pergerakan.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan rakyat Britain di Malaysia mendapat bantuan serta sokongan yang sepatutnya,” katanya.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan konsular boleh menghubungi talian 603-21702200 dan laman web Advice Travel (www.gov.uk/foreign-travel-advice/malaysia) serta saluran media sosialnya (@UKinMalaysia).

Duta Besar Cuba ke Malaysia, Ibete Fernández Hernandez, berkata kedutaan di sini ditutup dan kakitangannya bekerja dari rumah, perkhidmatan konsular juga dilaksanakan secara dalam talian.

Sementara itu, Kedutaan Colombia mengikuti rapat semua arahan dikeluarkan kerajaan Malaysia serta kerajaan Colombia.

Duta Denmark ke Malaysia Jesper Vahr berkata kedutaan masih dibuka dan menyediakan perkhidmatan penting untuk warganya.

“Pada masa ini, kami masih boleh dihubungi 24/7 untuk memudahkan rakyat kami yang memerlukan bantuan,” ujar beliau.

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia berkata warganya yang memerlukan perkhidmatan konsular boleh menghubungi talian bantuan 018-3196715 atau melalui e-mel hciklcrt2020@gmail.com.

“Selaras dengan arahan kerajaan India pada 17 Mac, tiada penumpang, termasuk warga India, dibenarkan melakukan perjalanan dari Malaysia ke India ketika larangan dikuatkuasakan,” kata kedutaan dalam satu kenyataan.

Kuasa Usaha di Kedutaan Iran, Abdol Ali Maktabi Fard, berkata antara langkah yang diambil adalah memendekkan waktu bekerja dan mengurangkan bilangan petugas di bahagian Konsular.

“Kami menggesa warga Iran di Malaysia mematuhi sekatan yang dilakukan kerajaan Malaysia,” katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Namibia ke Malaysia, Anne Namakau Mutelo, berkata pejabat kedutaan akan ditutup sehingga 31 Mac dan semua petugas akan bekerja dari rumah.

“Tidak ramai rakyat Namibia di Malaysia tetapi penuntut di sini dalam keadaan baik setakat ini. Tidak ada penuntut Malaysia di Namibia,” katanya.

Sementara itu, kedutaan Norway masih menawarkan bantuan konsular dan menyalurkan maklumat kepada warganegara Malaysia yang memerlukan. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X