Rabu, 18 March 2020 | 5:10pm

Agong, Permaisuri lawat CPRC

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong meluangkan masa kira-kira setengah jam di CPRC untuk mengetahui berkenaan pengoperasian pusat itu dalam mengendalikan kes COVID-19 di seluruh negara.

Baginda berdua turut mendengar penerangan diberikan Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Norhayati Rusli mengenai situasi semasa wabak berkenaan menerusi paparan di MyCPRC Dashboard.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ni berkenan berangkat ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. - Foto BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar penerangan oleh Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Norhayati Rusli (dua, kiri) mengenai situasi semasa COVID-19 yang dipaparkan di MyCPRC Dashboard ketika baginda berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. - Foto BERNAMA

Terdahulu, keberangkatan baginda berdua di CPRC disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri II Datuk Aaron Ago Dagang.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin. berkata ketika di CPRC, Al-Sultan Abdullah diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak COVID-19.

“Sebagai maklumat balas, Seri Paduka turut menzahirkan bahawa baginda sudah berbincang dengan Perdana Menteri semasa sesi Pra-Kabinet berkenaan status bekalan perubatan dan disembah maklum bahawa peruntukan akan disediakan mengikut keperluan perubatan semasa,” katanya.

Ahmad Fadzil dalam kenyataan sama berkata baginda berdua juga merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 pada Selasa.

Katanya Seri Paduka turut menzahirkan harapan supaya rakyat Malaysia terus berdoa bersama baginda memohon ihsan Allah supaya usaha membendung wabak COVID-19 dirahmati, diberkati dan situasi dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya petugas di barisan hadapan yang berkerja dengan semangat tinggi dan tanpa mengira penat lelah,” katanya.

Malaysia mencatatkan 673 kes COVID-19 sehingga semalam dengan Dr Adham mengisytiharkan kematian pertama akibat wabak COVID-19, membabitkan dua lelaki. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah beredar selepas berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. - Foto BERNAMA
    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah beredar selepas berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X