Selasa, 17 March 2020 | 11:48pm
GAMBAR tular orang ramai berpusu-pusu ke balai polis Tanjung Malim, malam tadi. - Foto tular
GAMBAR tular orang ramai berpusu-pusu ke balai polis Tanjung Malim, malam tadi. - Foto tular

COVID-19: Orang ramai berpusu-pusu ke balai polis

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpusu-pusu ke balai polis selepas polis meminta orang ramai mengisi borang khas bersama dokumen sokongan jika mahu membuat perjalanan merentas negeri.

Sejak lewat petang tadi, beberapa gambar dan rakaman video menunjukkan orang ramai beratur panjang di luar balai polis bagi mengisi borang berkenaan mula viral di media sosial.

Menurut Ketua Balai Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, antara balai polis di bawah pentadbirannya yang menjadi tumpuan orang ramai ialah Balai Polis Kelana Jaya, Sungai Way dan Petaling Jaya.

ORANG ramai berpusu-pusu ke balai polis Serdang, malam tadi. - Foto tular
ORANG ramai berpusu-pusu ke balai polis Serdang, malam tadi. - Foto tular

“Kebanyakan mereka yang kini memenuhi Balai Polis Kelana Jaya untuk mengisi borang berkenaan daripada kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, polis menangguh sementara arahan orang ramai mesti mendapat kebenaran jika mahu keluar dari negeri masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan tindakan itu dibuat untuk menyelesaikan kesesakan yang berlaku di balai polis di seluruh negara, selepas arahan yang dikeluarkan pihaknya petang tadi itu.

Sementara itu di Shah Alam, situasi sama juga berlaku apabila empat balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, iaitu Balai Polis Seksyen 9, Seksyen 6, Bukit Jelutong dan Seri Muda mula diserbu orang ramai sejak selepas Maghrib.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata mereka mengisi borang khas yang disediakan jika mahu keluar dari daerah itu untuk ke negeri lain.

“Di Shah Alam terdapat banyak institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta kolej pendidikan. Kebanyakan mereka yang mahu mengisi borang berkenaan ialah penuntut yang mahu pulang ke kampung masing-masing.

“Apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan dan semua sesi pembelajaran di IPT juga dihentikan, semua penuntut berkenaan mahu pulang ke kampung halaman mereka. Kita faham perkara itu,” kata beliau.

Di Kajang pula, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan, orang ramai mula hadir di Balai Polis Kajang kira-kira jam 7.30 malam tadi.

“Kebanyakan mereka terdiri daripada penuntut universiti awam dan swasta di sekitar daerah ini yang mahu pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kami menyediakan borang berkenaan untuk diisi mereka yang hadir dengan memaklumkan butiran pergerakan mereka dan urusan kelulusan akan dikendalikan oleh ketua polis balai,” katanya.

Pada awalnya, larangan pergerakan antara negeri itu selaras pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 di negara ini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X