Selasa, 17 March 2020 | 8:30am
Penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 tidak membabitkan anggota tentera. - Foto hiasan
Penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 tidak membabitkan anggota tentera. - Foto hiasan

Perintah kawalan pergerakan tak babitkan ATM

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata penugasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 tidak membabitkan anggota tentera sebaliknya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Buat masa ini, PDRM akan menentukan semua (tugas) penguatkuasaan susulan pengumuman perintah itu,” katanya.

Affendi berkata demikian mengulas sama ada anggota ATM terbabit dalam menguatkuasakan perintah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Beliau turut menjelaskan yang pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi, penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

“Operasi di sempadan dan perairan negara akan berjalan seperti biasa namun ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak,” katanya.

Muhyiddin hari ini mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac, di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Kes COVID-19 meningkat secara mendadak di negara ini, iaitu 190 kes baharu dilaporkan kelmarin dan semalam sebanyak 125 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti, setakat 12 tengah hari semalam ialah 553 orang.

Seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang pulih. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X