Selasa, 17 March 2020 | 12:14am
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - NSTP/Amirudin Sahib
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar. - NSTP/Amirudin Sahib

COVID-19: Penurunan kes dijangka bermula selepas seminggu

KUALA LUMPUR: Keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal jangkitan COVID-19 daripada terus merebak, dijangka dapat dilihat dalam tempoh lebih seminggu selepas tarikh ia berkuatkuasa.

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata penurunan kes harian jangkitan coronavirus di negara ini, dijangka hanya akan bermula selepas seminggu.

Katanya, jumlah jangkitan dijangka terus meningkat dalam tempoh seminggu pertama, khususnya membabitkan mereka yang dijangkiti virus itu selepas menghadiri himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, awal bulan ini.

“Jumlah jangkitan dalam kalangan yang terdedah di masjid itu akan berterusan selama beberapa hari, memandangkan ketika ini, baru kira-kira separuh daripada 14,500 peserta himpunan itu dilaporkan hadir membuat saringan.

“Kita harap jumlah yang dijangkiti tidak sampai ke angka 10,000 sebelum ia menunjukkan penurunan, jika Perintah Kawalan Pergerakan ini berkesan.

“Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan ini mungkin tidak memberi sebarang impak pada negeri yang jumlah kesnya ketika ini sangat kecil seperti Perlis dengan lapan kes, Terengganu (empat kes) dan Labuan (empat kes),” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula Rabu ini sehingga 31 Mac depan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menerusi perintah itu, semua jenis perhimpunan termasuk aktivit keagamaan, sukan, sosial dan budaya adalah dilarang, manakala semua rumah ibadat dan premis perniagaan perlu ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Malaysia turut mengenakan sekatan menyeluruh perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, manakala bagi warga negara yang baru pulang ke Malaysia perlu melakukan kuarantin sukarela selama 14 hari. Kemasukan pelancong dan pelawat asing pula disekat.

Selain itu, taska, sekolah, dan semua institusi pengajian awam dan swasta serta premis kerajaan dan swasta perlu ditutup, kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

Mengulas lanjut, Sazaly berharap kerajaan mencontohi China yang menggerakkan jentera perubatan secara agresif ketika tempoh sekatan di negara itu dan tidak sekadar terhenti dengan Perintah Kawalan Pergerakan semata-mata.

“Kerajaan juga perlu jelaskan bagaimana dengan 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, adakah mereka tidak boleh pergi bekerja dan sebagainya kerana ia membabitkan implikasinya hubungan dua negara.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mengeluarkan garis panduan mengenai apa yang perlu dilakukan orang ramai di rumah, khususnya jika mereka memiliki gejala,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X