X
Isnin, 16 March 2020 | 8:00pm
Nur Ain Farhah Ros menggunakan aplikasi Sensor IoTree untuk mengesan serangan kumbang merah palma di ladang sawit di Batang Merbau, Tanah Merah. - NSTP/Zaman Huri Isa
Nur Ain Farhah Ros menggunakan aplikasi Sensor IoTree untuk mengesan serangan kumbang merah palma di ladang sawit di Batang Merbau, Tanah Merah. - NSTP/Zaman Huri Isa

MPOB kesan serangan kumbang merah palma

TANAH MERAH: Sebanyak 25 alat sensor seismik berteknologi tinggi ditempatkan dalam kebun sawit seluas 21 hektar dekat Batang Merbau di sini, bagi mengesan serangan kumbang merah palma (RPW).

Alat yang dinamakan IoTree RPW itu dipasang secara rawak oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) membabitkan 25 pokok sawit sejak Januari tahun lalu bagi mengesan kehadiran serangga perosak itu.

Pemasangan alat sensor terbabit dibuat susulan aduan pemilik kebun yang mendakwa beberapa pokok sawit miliknya rosak pada November 2018 yang dikhuatiri akibat serangan RPW.

Pegawai Penyelidik MPOB, Nur Ain Farhah Ros Saidon Khudri, berkata setakat ini penyelidikan secara terperinci dibuat pihaknya, belum menemui simptom serangan kumbang merah palma, sebaliknya mungkin disebabkan serangga perosak lain atau penyakit.

“IoTree RPW dipasang pada pokok yang ‘sakit’ dan membusuk kerana RPW mudah tertarik dengan bau masam pada pokok.

Aplikasi Sensor IoTree RPW.
Aplikasi Sensor IoTree RPW.

“Bacaan yang direkodkan oleh IoTree RPW dibuat sebulan sekali dan ada tiga kategori iaitu bersih, meragukan serta diserang dan hasil pengumpulan data yang diperoleh di kebun ini bacaannya adalah dalam kategori meragukan.

“Justeru, kami mengenal pasti bentuk keraguan yang timbul dan ia bukan serangan daripada kumbang merah palma sebaliknya mungkin serangga perosak lain atau disebabkan penyakit,” katanya kepada BH di lokasi pemasangan alat terbabit.

Sebagai langkah pencegahan, wakil dari Jabatan Pertanian negeri yang diketuai Marwan Marzuki turut hadir melakukan rawatan suntikan batang menggunakan bahan kimia jenis bahan aktif Metamidophos dan racun digunakan dalam kaedah itu mampu bertahan selama tiga bulan.

Selain IoTree RPW, kaedah pengesanan kumbang merah palma turut dibantu dengan satu lagi teknologi iaitu alat akustik yang dipanggil AED 2010 yang dikendalikan Penolong Penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Haris Hussain.

Mohamad Haris berkata, sebarang pergerakan serangga, termasuk dari segi patern dan corak serangan mampu didengari menerusi alat itu, walaupun dihasilkan serangga sangat kecil.

“Alat ini dicucuk pada batang sawit untuk memulakan rakaman dan maklumat terus diperoleh sama ada kumbang atau serangga lain yang menyerang tanaman terbabit,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan ancaman kumbang palma merah yang berpotensi merosakkan tanaman sawit, selepas memasuki negara ini secara menumpang tumbuhan pokok kurma hiasan yang diimport.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X